Individu jalani kuarantin dakwa dihidang daging babi

Tular di Facebook
Tular di Facebook
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Seorang individu yang menjalani kuarantin Covid-19 di sebuah hotel di sini kesal dihidangkan makanan yang mengandungi daging babi.

Perkara itu dikongsi individu tersebut di laman sosial pada Sabtu selepas terkejut apabila hidangan makan malam yang disangka ayam rupa-rupanya daging babi.

"Kebanyakan makanan yang disediakan tidak berlabel dan ketika ditanya kakitangan memberi jaminan hidangan berkenaan ialah ayam ketika ditanya.

"Saya terus mesej pihak bertanggungjawab tetapi tiada maklum balas menyebabkan saya menemui penyambut tetamu memaklumkan perkara tersebut selain menerima layanan tidak sewajarnya daripada pihak hotel," katanya.

Individu yang bukan beragama Islam itu mendakwa telah membelanjakan lebih RM1,000 untuk menjalani tempoh kuarantin di hotel berkenaan.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara Perak, Khairul Ridzuan Mat Said berkata, pihaknya sedia maklum dengan isu tersebut dan menyerahkan kepada pihak polis untuk jalankan siasatan.

Jelasnya, segala urusan berkaitan makanan, penginapan dan keperluan asas penghuni di pusat kuarantin adalah tanggungjawab di bawah agensi terlibat.

"Jawatankuasa yang bertanggungjawab daripada agensi ini mungkin akan menyemak semula adakah perkara ini benar atau tidak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung dakwaan itu.

Katanya, hasil siasatan mendapati berlaku salah faham apabila pengadu seorang vegetarian dibekalkan makanan tersebut.

"Atas sikap prihatin dibimbangi diterima oleh penghuni beragama Islam, pihak pengurusan telah melantik dua katerer berlainan untuk urusan menyiapkan makanan halal dan tidak halal.

"Meja pun diasingkan apabila makanan dihantar. Tidak timbul lagi isu penghuni Islam terima makanan tidak halal setakat ini. Kita menasihatkan agar semua pihak bertenang kerana isu timbul hasil salah faham," katanya.