KEMAS semai ilmu, perkasa komuniti

Ahmad Zahid (tiga dari kiri) menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada kakitangan KEMAS.
Ahmad Zahid (tiga dari kiri) menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada kakitangan KEMAS.
A
A
A

DI sebalik imejnya yang sinonim dengan Tabika, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) sebenarnya memainkan peranan lebih luas sebagai pemacu pembangunan komuniti luar bandar melalui pendidikan awal kanak-kanak, latihan kemahiran, keusahawanan, kesejahteraan keluarga dan pemerkasaan masyarakat.

Usaha berterusan itu memastikan masyarakat desa terus menikmati peluang pendidikan, peningkatan ekonomi dan pembangunan sosial menyeluruh, hasil komitmen warga KEMAS seluruh negara.

Sebagai penghargaan terhadap dedikasi dan prestasi cemerlang seramai 1,251 kakitangan jabatan berkenaan diraikan sempena Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2025.

Majlis APC merupakan acara tahunan dan penganjurannya sebahagian usaha jabatan dalam membudayakan kecemerlangan, meningkatkan motivasi serta menggalakkan persaingan sihat dalam kalangan warga KEMAS.

Ia juga bagi memastikan setiap mereka sentiasa memberikan perkhidmatan berkualiti, berprestasi tinggi dan berorientasikan pelanggan.

Ahmad Zahid (duduk depan tiga dari kanan) bersama warga KEMAS di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang KEMAS Tahun 2025.
Ahmad Zahid (duduk depan tiga dari kanan) bersama warga KEMAS di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang KEMAS Tahun 2025.

Majlis APC 2025 yang berlangsung di Pusat Kegiatan Masyarakat KEMAS Kampung Pantai, Seremban itu turut meraikan 165 penerima daripada Ibu Pejabat KEMAS, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka, Institut Kemahiran KEMAS Kuala Lumpur (ILKKL) dan Pusat Latihan KEMAS (PLK) Melaka.

Majlis berkenaan turut diserikan dengan amanat Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Artikel Berkaitan:

Kakitangan KEMAS tidak melepaskan peluang bergambar bersama Ahmad Zahid.
Kakitangan KEMAS tidak melepaskan peluang bergambar bersama Ahmad Zahid.

225,000 ikuti kelas al-Quran

Menurut Ahmad Zahid, melalui KEMAS, seramai 225,000 kanak-kanak kini mengikuti kelas al-Quran di Tabika KEMAS seluruh negara hasil pelaksanaan program diperkenalkan sejak tiga tahun lalu.

Ujarnya, program diperkenalkan selepas beliau diberi amanah menerajui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), dengan KEMAS menjadi antara jabatan penting di bawah kementerian itu.

“Peringkat awal, kita dapati responnya sangat baik kerana banyak ibu bapa yang merasakan mereka tidak mempunyai kesempatan untuk ajar anak-anak kerana kadang-kadang ibu bapa itu sendiri buta al-Quran.

“Sebab itu kita bekerjasama dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris, Yayasan Pahang dan Yayasan Pintar bagi membangunkan kaedah pembelajaran yang lebih efektif untuk menghafaz ayat al-Quran.

“Alhamdulillah, kita ucap tahniah kepada KEMAS kerana seramai 225,000 kanak-kanak sedang ikuti kelas al-Quran ini,” katanya.

Selain itu beliau memaklumkan menjelang hujung tahun hadapan, kesemua tadika KEMAS disediakan kemudahan 'smart board', dengan Johor negeri paling awal menerima kemudian tersebut

Ahmad Zahid (dua dari kanan) menerima cenderahati daripada Mohd Hanafiah.
Ahmad Zahid (dua dari kanan) menerima cenderahati daripada Mohd Hanafiah.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohd Hanafiah Man berkata, semua peranan berkenaan tidak akan mampu dilaksanakan tanpa pengorbanan, dedikasi dan komitmen kakitangan kontrak jabatan itu di seluruh negara.

Menyedari sumbangan besar golongan itulah katanya, usaha menambah baik pengurusan sumber manusia terus dipergiatkan.

“Ia termasuk cadangan menukar lantikan kontrak kepada lantikan tetap yang telah dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam pada September 2025 dan kini sedang dipertimbangkan.

“KEMAS turut mengadakan beberapa siri Sesi Libat Urus bersama Jabatan Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam sejak 2025 bagi membuka ruang kepada cadangan penambahan kuota jawatan kontrak serta memperluaskan kelayakan bidang akademik selaras keperluan semasa organisasi,” katanya.

Fokus kemahiran baharu

Menurutnya, keperluan KEMAS kini tidak lagi hanya tertumpu penguasaan asas membaca, menulis dan mengira, malah perlu merangkumi teknologi digital, sains, robotik, kreativiti serta kemahiran abad ke-21 agar penyampaian perkhidmatan terus relevan dan berdaya saing.

Katanya, antara kejayaan menjadi kebanggaan ialah pelaksanaan ekosistem Projek Roti Kampung oleh Pemaju Masyarakat Kemahiran (Masakan), Cikgu Ruhi Hidayah Saion dari Pusat Masakan Port Dickson.

“Roti Kampung Negeri Sembilan bukan sahaja mendapat sambutan, malah sentiasa habis dijual setiap kali dipasarkan pada Jualan Hari Gaji di Putrajaya sehingga menjadi inspirasi kepada negeri-negeri lain untuk melaksanakan projek sama.

“KEMAS Negeri Sembilan turut melaksanakan Projek Jahitan Pukal Pakaian Seragam TABIKA yang menghasilkan 6,834 pasang pakaian dengan penjanaan pendapatan melebihi RM200,000,” katanya.

Tambahnya, KEMAS Negeri Sembilan juga menunjukkan prestasi cemerlang dalam pelaksanaan program pendidikan awal kanak-kanak, pembangunan komuniti, latihan kemahiran dan pemerkasaan keusahawanan desa.

Lebih membanggakan katanya, budaya kerja berpasukan, semangat inovasi serta kesungguhan warga KEMAS Negeri Sembilan menjadikan negeri ini antara contoh dalam pelaksanaan dasar dan inisiatif KEMAS di peringkat nasional.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!