Turki menuju sebuah kuasa nuklear

Kawasan pembinaan loji nuklear di Akkuyu, selatan Turki.
Kawasan pembinaan loji nuklear di Akkuyu, selatan Turki.
A
A
A

TURKI dijangka menjadi salah sebuah negara pengeluar tenaga nuklear apabila reaktor ketiga tenaga itu yang mendapat pembiayaan daripada Rusia siap dibina menjelang tahun 2023.

Kerja-kerja telah dilakukan dalam minggu ini di tapak pembinaan loji nuklear terbesar dunia di Akkuyu, selatan Turki yang akan menempatkan empat buah reaktor tenaga tersebut dan akan digunakan untuk membekalkan kuasa elektrik di negara berkenaan.

Pada Rabu lalu, Presiden Recep Tayyip Erdogan dan Presiden Rusia, Vladimir Putin memberikan lampu hijau bagi membina reaktor tersebut pada majlis pecah tanah menerusi persidangan video yang dibuat di Ankara serta Moscow.

Kerja-kerja di tapak pembinaan itu bermula sejak tahun 2018 bagi membina reaktor pertama nuklear manakala reaktor kedua mula dibina pada Jun 2020 dan yang ketiga pula pada Rabu lalu yang dijangka siap dibina menjelang tahun 2023 iaitu pada hari ulang tahun penubuhan Republik Turki.

Laporan-laporan berita Rusia menganggarkan projek tersebut bernilai AS$20 bilion (RM82.36 bilion).

Menurut portal berita World Nuclear News, tiga lagi reaktor itu akan siap dibina pada 2026.

Pelabur-pelabur Rusia dikatakan akan membiayai pembinaan reaktor-reaktor tersebut dengan 93 peratus daripadanya melalui Perbadanan Rosatom iaitu agensi tenaga atom negara itu.Projek pembinaan loji itu diketuai oleh seorang wanita iaitu Anastasia Zoteyeva yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Akkuyu Nuclear JSC.

Apabila siap sepenuhnya, reaktor-reaktor itu akan membekalkan kira-kira 10 peratus penggunaan tenaga elektrik di negara tersebut tanpa pencemaran dan dengan harga munasabah sekali gus merangsang ekonomi negara.

Artikel Berkaitan:

Turki dikatakan mempunyai dua kawasan perlombongan yang mengandungi uranium iaitu bahan bakar untuk nuklear.

Kawasan itu dikatakan terletak di Temrezli di wilayah Yozgat, tengah Turki.

Bagaimanapun, Greece dilaporkan membangkitkan pelbagai isu mengenai usaha Turki bagi membina reaktor itu menerusi Menteri Luarnya, Nikos Dendias baru-baru ini.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan (kiri) dan Presiden Rusia, Vladimir Putin menjalinkan kerjasama bagi membina projek loji tenaga nuklear di Akkuyu, selatan Turki.
Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan (kiri) dan Presiden Rusia, Vladimir Putin menjalinkan kerjasama bagi membina projek loji tenaga nuklear di Akkuyu, selatan Turki.

Dendias dilaporkan bercakap dengan Setiausaha Negara AS, Antony Blinken menerusi telefon selama 45 minit bahawa tapak reaktor itu di Akkuyu mungkin menjadi bencana nuklear seperti di Chernobyl, Ukraine pada tahun 1986.

Kejadian itu berlaku ketika Ukraine berada dalam empayar Kesatuan Soviet.

Reaktor keempat di loji nuklear itu dilaporkan meletup manakala angka kematian akibat kejadian tersebut tidak pernah didedahkan kepada umum ekoran kerajaan komunis Kesatuan Soviet enggan mendedahkan jumlah sebenar mereka yang terkorban.

Justeru akhbar-akhbar Greece melaporkan, pembinaan loji nuklear itu apabila siap nanti akan menimbulkan ancaman keselamatan di negara-negara di timur Mediterranean.

Turki dan Greece merupakan anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang sebelum ini berbalah dalam beberapa isu sehingga hubungan kedua-dua buah negara menjadi tegang.

Pada tahun lalu, Athens membidas Ankara kerana melakukan misi penerokaan gas yang dilakukan oleh sebuah kapal dari Turki di kawasan perairan yang didakwa milik Greece.

Menurut portal berita Ekathimerini.com, Turki mampu memperoleh teknologi bagi menghasilkan senjata nuklear.

Sebelum ini, Erdogan pernah menyatakan beliau tidak dapat menerima hujah bahawa negara-negara yang mempunyai senjata nuklear memberitahu bahawa Turki tidak boleh memiliki senjata nuklear.

Bagaimanapun, ketika itu, beliau tidak menyatakan sama ada Turki merancang untuk memiliki senjata nuklear.

Kerja-kerja pembinaan di tapak projek pertama loji nuklear Turki di Akkuyu pada majlis pecah tanah pada 3 April 2018.
Kerja-kerja pembinaan di tapak projek pertama loji nuklear Turki di Akkuyu pada majlis pecah tanah pada 3 April 2018.

Turki dilaporkan menandatangani Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear pada tahun 1980 dan Perjanjian Larangan Ujian Nuklear pada tahun 1986 yang mengharamkan semua letupan bahan-bahan nuklear bagi sebarang tujuan.

Justeru, adakah negara itu sanggup melanggar perjanjian yang telah ditandatanganinya bagi menghasilkan senjata nuklear?

Namun, Erdogan juga dilaporkan pernah mendakwa Israel memiliki senjata nuklear.

“Kita mempunyai Israel yang terletak berhampiran (dengan Turki). Mereka (Israel) menakutkan negara-negara lain dengan memiliki ini (senjata nuklear).

“Tidak ada sesiapa pun yang berani untuk menyentuh mereka (Israel),” katanya ketika memberitahu anggota-anggota Parti Keadilan dan Pembangunan (AK) pada tahun 2019.

Sebelum ini, penganalisis asing pernah mendakwa bahawa Israel memiliki sejumlah senjata nuklear.

Namun, Tel Aviv enggan mengesahkan atau menafikan dakwaan tersebut. - Agensi