Bot nelayan bawa 30 kru hampir karam di Langkawi

Bot tersebut hampir karam di kedudukan0.3 batu nautika utara Pulau Singa Besar, Langkawi selepas dipercayai melanggar batu pada pagi Sabtu. - Foto Maritim Malaysia
Bot tersebut hampir karam di kedudukan0.3 batu nautika utara Pulau Singa Besar, Langkawi selepas dipercayai melanggar batu pada pagi Sabtu. - Foto Maritim Malaysia
A
A
A

LANGKAWI - Sebuah bot nelayan kelas A yang membawa 30 kru berdepan detik cemas apabila hampir karam selepas terlanggar sebuah objek pada kedudukan 0.3 batu nautika utara Pulau Singa Besar, Langkawi sekitar jam 6.50 pagi pada Sabtu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, bot tersebut bersama dua buah bot lain dalam perjalanan melakukan aktiviti menangkap ikan.

Menurutnya, bot tersebut telah terlanggar objek yang dipercayai batu menyebabkan terkandas dan hampir karam di kawasan Pulau Singa Besar, Langkawi.

"Pemilik bot tersebut telah menghubungi Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi bagi mendapatkan bantuan.

"Kapal maritim KM Tenggol telah diatur gerak ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima maklumat dan koordinasi daripada MRSC Langkawi dan maklumat mengenai kejadian berkenaan turut disalurkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Jabatan Laut Malaysia (JLM)," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Mohd Zawawi berkata, KM Tenggol tiba di tempat kejadian dan mendapati bot tersebut dikendalikan seorang tekong dan 30 kru berumur lingkungan 25 hingga 60 tahun yang kesemuanya warga tempatan.

Seramai 30 kru yang berada di dalam bot yang hampir karam tersebut berjaya diselamatkan oleh nelayan lain dan Maritim Malaysia. - Foto Maritim Malaysia
Seramai 30 kru yang berada di dalam bot yang hampir karam tersebut berjaya diselamatkan oleh nelayan lain dan Maritim Malaysia. - Foto Maritim Malaysia

Mengulas lanjut, semua mangsa memakai jaket keselamatan dan telah diselamatkan oleh bot nelayan tempatan yang berada di sekitar pada masa itu, sebelum dipindahkan ke KM Tenggol.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua mereka dilaporkan selamat dan tidak mengalami kecederaan. Sebaik tiba di jeti Maritim Malaysia Bukit Malut, semua mangsa diserahkan kepada majikan mereka," katanya.

Tambahnya, bot kayu yang hampir karam tersebut berukuran 22.79 meter panjang dan 7.11 meter lebar dan proses menyelamatkan bot bermula dengan usaha menaikkan pukat dan memindahkan peralatan menangkap ikan ke bot nelayan tempatan yang lain.

"Dalam perkembangan lain pemilik bot dilaporkan sedang dalam usaha mendapatkan bantuan bagi menyelamatkan serta menaikkan semula bot yang hampir karam melaui JLM,"katanya.

Zawawi mengingatkan semua pihak yang berhasrat melakukan aktiviti di laut agar mengambil langkah-langkah keselamatan seperti memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca dan memastikan bot dalam keadaan baik.

Mereka juga diingatka membawa Personal Locator Beacon (PLB), memaklumkan destinasi kepada ahli keluarga, membawa bekalan makanan secukupnya selain mengelakkan aktiviti di luar kawasan liputan telekomunikasi.