Pesakit buah pinggang dijangka 106,000 menjelang 2040

Sehingga hari ini terdapat kira-kira 40,000 pesakit kegagalan fungsi buah pinggang yang sedang mendapatkan rawatan dialisis di seluruh negara. - Foto 123RF
Sehingga hari ini terdapat kira-kira 40,000 pesakit kegagalan fungsi buah pinggang yang sedang mendapatkan rawatan dialisis di seluruh negara. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pesakit kegagalan fungsi buah pinggang di Malaysia dijangka mencecah 106,000 orang menjelang tahun 2040, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Lebih membimbangkan, Dr Noor Hisham berkata, 30 peratus daripada jumlah itu merupakan golongan muda berusia bawah 45 tahun yang boleh mendatangkan impak negatif kepada sosioekonomi negara.

Beliau berkata, sehingga hari ini terdapat kira-kira 40,000 pesakit kegagalan fungsi buah pinggang yang sedang mendapatkan rawatan dialisis di seluruh negara.

"Kajian mendapati kira-kira 8,000 pesakit baharu disahkan pada tahun 2018 dan trend ini meningkat saban tahun... jika ia berterusan maka jumlah pesakit yang perlu dialisis akan mencecah 106,000 pada 2040," katanya ketika merasmikan Hari Buah Pinggang Sedunia Peringkat Kebangsaan 2021 secara maya di sini pada Sabtu.

Justeru katanya, Perkhidmatan Nefrologi Kementerian Kesihatan (KKM), Persatuan Nefrologi Malaysia dan Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia akan melaksanakan pelbagai acara bagi memperkasa kempen untuk meningkatkan penjagaan buah pinggang kepada rakyat negara ini.

Ia termasuk aktiviti kesedaran awam, saringan ujian penyakit buah pinggang kepada orang awam secara berkala dan penglibatan orang awam sebagai Duta Ginjal.

Pada majlis sama Pengerusi Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia, Datuk Dr Zaki Morad Mohamad Zaher berkata, kebanyakan pesakit buah pinggang dikesan menghidap penyakit itu ketika buah pinggang mereka telah 90 peratus rosak.

"Oleh itu, kami menggalakkan orang ramai menjalani saringan sakit buah pinggang di fasiliti kesihatan bagi mencegah penyakit ini dan mengurangkan komplikasinya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kajian mendapati 61 peratus pesakit baharu yang memerlukan rawatan dialisis menghidap diabetes manakala 16 peratus lagi menghidap tekanan darah tinggi berpunca daripada tabiat pemakanan dan gaya hidup tidak sihat.

Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia di negara ini disambut sejak 2006 pada setiap Khamis minggu kedua bulan Mac setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran orang ramai berhubung penyakit buah pinggang.

Sambutan tahun ini dengan tema 'Hidup Sejahtera Dengan Sakit Buah Pinggang' buat pertama kalinya diadakan secara maya melalui platform Facebook Live 'MyBuahPinggang' berikutan pandemik Covid-19. - Bernama