X

Kindly register in order to view this article
!

Maqis lupus barang rampasan di Zoo Negara

Ronald (dua dari kiri) pada lawatan pertama melawat persekitaran Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam, Kedah pada Jumaat.
A
A

BUKIT KAYU HITAM - Zoo Negara menjadi salah satu kaedah buat Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) untuk melupuskan barangan yang dirampas di pintu sempadan negara.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, antara barang rampasan yang dihantar ke Zoo Negara melibatkan ayam dan daging sejuk beku.

"Antara kaedah pelupusan (barang rampasan) adalah bagi kepada Zoo Negara untuk dijadikan makanan haiwan di sana.

"Telah dibuat (sebelum ini) dan akan diteruskan untuk melakukan pelupusan melalui kaedah demikian," katanya pada sidang akhbar selepas melawat Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Maqis yang baru-baru ini telah mengagihkan barang rampasan melibatkan ayam dan daging sejuk beku kepada Zoo Negara.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Maqis telah pun menghantar barang rampasan tersebut sebanyak empat kali dengan nilai kira-kira RM400,000.

"Masih terdapat kira-kira 240 tan ayam dan daging sejuk beku atau nilainya RM1.16 juta berada di dalam simpanan sejuk beku dan akan dihantar ke Zoo Negara selepas siasatan dan kes di mahkamah selesai," katanya.

Pada 7 Mac lalu, media melaporkan Maqis menyerahkan lebih lapan tan ayam beku kepada Zoo Negara sebagai bekalan makanan kepada haiwan di situ.

Ketua Pengarahnya, Saiful Yazan Alwi berkata, keseluruhan ayam beku itu adalah hasil rampasan oleh pelbagai agensi penguat kuasa di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!