Jangan politikkan isu demi kepentingan sendiri: KPN

Abdul Hamid pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini. - Foto Bernama
Abdul Hamid pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengingatkan ahli politik di negara ini supaya tidak mempolitikkan sebarang isu demi kepentingan diri sendiri.

Abdul Hamid berkata, ahli politik perlu bersikap bertanggungjawab atas segala kenyataan yang dikeluarkan sehingga mempengaruhi dan mendatangkan kegusaran orang awam.

Menurutnya, tindakan segelintir ahli politik mempolitikkan sesuatu perkara demi kepentingan sendiri adalah tidak wajar kerana terdapat banyak perkara lain yang lebih penting untuk dititikberatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Misalnya dulu anggota keselamatan mengadakan kawalan di tempat-tempat ibadat dan tidak timbul pun isu. Jadi, mengapa sekarang timbul isu apabila ada anggota keselamatan berbuat demikian.

"Perkara remeh ini dijadikan isu politik dan dituduh tidak sensitif di mana ia dibangkitkan oleh ahli politik sendiri.

"Sikit-sikit nak kaitkan dengan kaum dan agama. Jadi saya minta hentikan," katanya dalam sidang media di Bukit Aman di sini pada Khamis.

Beliau berkata, tindakan ahli politik terbabit akan menimbulkan perasaan tidak senang terhadap orang ramai.

"Apabila ada isu-isu dibangkitkan, sudah tentu ada pihak yang akan membuat laporan polis," katanya.

Artikel Berkaitan: