Hotel di Port Dickson kembali bernafas

Hotel Lexis Hibiscus mula dipenuhi pengunjung sejak rentas daerah dibenarkan pada 5 Mac lalu. Gambar kecil: Haziz
Hotel Lexis Hibiscus mula dipenuhi pengunjung sejak rentas daerah dibenarkan pada 5 Mac lalu. Gambar kecil: Haziz
A
A
A

SEREMBAN - Jumlah pengunjung yang menginap di hotel sekitar Port Dickson meningkat lebih 30 peratus sejak rentas daerah dibenarkan pada 5 Mac lalu, kata Pengerusi Persatuan Hotel-Hotel (MAH) Negeri Sembilan, Haziz Hassan.

Beliau berkata, pihaknya menerima perkhabaran baik itu daripada ahli-ahli MAH yang memaklumkan operasi perhotelan mereka semakin pulih.

Menurutnya, meskipun hanya dibenarkan rentas daerah sahaja, namun ia membantu meningkatkan kembali ekonomi dalam industri pelancongan dan perhotelan.

"Rata-rata pengusaha hotel di sekitar Port Dickson mula 'bernafas' kembali. Hujung minggu lalu kebanyakan hotel penuh, ramai orang Negeri Sembilan yang datang ke Port Dickson sama ada untuk bersantai atau berehat di hotel.

"Hotel D'Wharf yang sebelum ini tutup sementara sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) 2.0 lalu, beroperasi kembali dan telah menerima tempahan 100 bilik pada hujung minggu lalu. Begitu juga dengan di Hotel Lexis Hibiscus yang kembali penuh," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Haziz berkata, kerajaan negeri juga banyak membantu pengusaha hotel melalui penganjuran pelbagai mesyuarat, seminar atau program, dengan menggunakan fasiliti di hotel.

"Diharap perkembangan baik ini akan berterusan bagi membantu meningkatkan industri perhotelan di negeri ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya menyambut baik gelembung pelancongan dicadangkan oleh kerajaan di negeri yang berstatus Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Artikel Berkaitan:

"Kita mengalu-alukan cadangan tersebut dan berharap rakyat dapat memanfaatkan peluang yang ada dengan pergi melancong melalui perkhidmatan agensi pelancongan.

"Walaupun kita tahu cadangan tersebut tidak efektif untuk mereka yang berkeluarga dan mempunyai anak kecil, namun sekurang-kurangnya kerajaan ada usaha untuk membantu semua pihak dalam memulihkan kembali ekonomi dan industri pelancongan," katanya.

Pada Isnin, kerajaan telah mengumumkan Gelembung Pelancongan Bersasar yang membenarkan pelancong bergerak dari kawasan PKPP merentas negeri PKPP lain.

Kebenaran pergerakan itu tertakluk kepada penggunaan perkhidmatan agensi pelancongan berdaftar merangkumi khidmat pengangkutan dan penginapan.