Lawatan ke Arab Saudi sangat berjaya: Muhyiddin

Muhyiddin ketika sidang media bersama wartawan Malaysia mengulas mengenai hasil kejayaan lawatan beliau ke Arab Saudi semalam. - Foto Bernama
Muhyiddin ketika sidang media bersama wartawan Malaysia mengulas mengenai hasil kejayaan lawatan beliau ke Arab Saudi semalam. - Foto Bernama
A
A
A

RIYADH - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan lawatan rasmi empat hari ke Arab Saudi sebagai sangat berjaya.

"Ia sangat berjaya," kata beliau semasa mengakhiri lawatan pada Selasa (Rabu di Malaysia).

Selain meningkatkan lagi hubungan Kuala Lumpur-Riyadh, lawatan itu juga membuahkan beberapa hasil positif untuk Malaysia.

Antara perkara penting yang dicapai adalah tambahan 10,000 kuota jemaah haji serta pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) untuk memudahkan proses prapelepasan jemaah haji dan umrah dari Malaysia.

Perkara lain termasuk perbincangan mengenai kemungkinan Arab Saudi meningkatkan import minyak sawitnya daripada 318,000 tan bernilai RM900 juta tahun lepas kepada 500,000 tan dalam masa terdekat.

Bagi tambahan kuota haji, permohonan itu dibenarkan ketika Muhyiddin menghadap Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan negara itu di Istana Al-Yamamah di sini pada hari terakhir lawatan.

Malaysia menjadi negara pertama disenaraikan dalam inisiatif Perkhidmatan Jalan Makkah yang akan memudahkan proses prapelepasan jemaah haji dan umrah dari Malaysia.

“Sebelum ini hanyalah projek perintis. Melalui inisiatif ini, akan menjadi ciri tetap," kata seorang diplomat.

Artikel Berkaitan:

Memorandum persefahaman mengenai inisiatif itu telah ditandatangani antara kedua-dua negara di istana berkenaan.

Susulan komitmen untuk meningkatkan hubungan ke tahap lebih tinggi, kedua-dua negara bersetuju menubuhkan Majlis Penyelarasan Arab Saudi-Malaysia untuk membuka jalan bagi perundingan dan tindakan lanjut secara berkala mengenai hal-hal kepentingan dan manfaat bersama.

"Kami tidak mahu bercakap dan bercakap tetapi tidak ada yang berlaku selepas itu. Kita akan mempunyai mekanisme berstruktur untuk diketuai bersama oleh menteri luar kedua-dua negara," kata Muhyiddin.

Muhyiddin berkata, beliau dan Putera Mahkota akan memantau tindakan dan kemajuan yang dicapai majlis itu.

MoU mengenai penubuhan majlis itu juga ditandatangani oleh kedua-dua negara di istana.

Perbincangan antara kedua-dua pemimpin itu turut menyentuh mengenai ekonomi, pertahanan, pendidikan, jaminan makanan, perdagangan dan pelaburan.

"Kami mengadakan perbincangan panjang lebar dan berterusan semasa makan malam kami. Perbincangannya sangat padat," kata Muhyiddin.

Mengulas kritikan pihak tertentu di Malaysia mengenai lawatan rasminya, Muhyiddin berkata: “Yang penting adalah hasil lawatan. Apa yang rakyat mahukan dari lawatan ini dan hasilnya."

Perdana menteri yang tiba di negara ini pada Sabtu, ke Makkah terlebih dahulu untuk menunaikan umrah dan diberi peluang memasuki Kaabah.

Muhyiddin kemudian ke Madinah pada Ahad untuk menziarahi Makam Nabi Muhammad SAW dan Masjid Nabawi.

Beliau tiba di ibu negara ini pada Selasa.

Lawatan rasmi atas undangan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud itu dilaksanakan di bawah prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.

Selepas ini, Muhyiddin ke Emiriah Arab Bersatu bagi lawatan rasmi hingga Khamis. - Bernama