‘Laluan tak rata, penuh lubang’

Muhyiddin (kiri) bersama enam menteri PN selepas selesai bacaan kali Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (empat dari kanan) di Dewan Rakyat pada 6 November 2020.
Muhyiddin (kiri) bersama enam menteri PN selepas selesai bacaan kali Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (empat dari kanan) di Dewan Rakyat pada 6 November 2020.
A
A
A

[LAPORAN KHAS] SETAHUN kerajaan Perikatan Nasional (PN), bermula 10 Mac 2020 mentadbir negara, bukanlah seperti pentadbiran lebih 60 tahun Barisan Nasional (BN) mahupun 22 bulan Perikatan Harapan (PH).

PN di bawah pimpinan Perdana Menteri kelapan yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, berdepan dengan kemelut politik yang tiada noktah dan serangan tanpa belas Covid-19.

Muhyiddin juga tidak mempunyai sebarang formula yang harus diikuti berdasarkan pimpinan pentadbiran negara terdahulu untuk dijadikan panduan kerana apa yang terhidang di hadapannya merupakan episod baharu Malaysia.

Pengarah Pengasas Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berkata, perjalanan setahun pemerintahan PN umpama memandu di jalan yang tidak rata dan dipenuhi lubang.

Shamsul Amri
Shamsul Amri

“Tempoh setahun ini amat tegang daripada segi politik dan kemunculan pandemik Covid-19. Pentadbiran PN berdepan dua cabaran utama iaitu kesihatan awam dan ekonomi,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Melihat kepada barisan Kabinet iaitu antara terbesar dalam sejarah dengan mempunyai empat menteri kanan, 27 menteri dan 38 timbalan menteri, sepanjang setahun berdepan pandemik Covid-19, tiada seorang pun daripada mereka mencampuri kemelut politik dalam pentadbiran PN.

Malah Muhyiddin sendiri tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan balas biarpun seterunya mengganggu gugat pentadbiran yang digelar sebagai kerajaan pintu belakang.

Artikel Berkaitan:

Bahkan, penampilan dua teknokrat iaitu Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sebagai jurucakap utama bagi menjawab segala persoalan berkaitan kewangan dan kesihatan menjadi formula berkesan memastikan bahtera kekal belajar menuju destinasinya.

“Dua insan ini merupakan antara individu paling penting kepada Muhyiddin, seorang menjaga kesihatan manakala seorang lagi menjaga kewangan. Jadi daripada segi struktur, Kabinet PN telah siap sedia.

“Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula bertindak dalam menyampaikan laporan perkembangan harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Masalah politik tidak dicampur aduk dalam tempoh setahun ini," kata Shamsul Amri.

Berdasarkan kaji selidik 02 Research Malaysia yang dibuat sebanyak dua kali pada bulan Jun dan November 2020, dapatan menunjukkan prestasi kepimpinan Muhyiddin sepanjang setahun PN dengan cabaran Covid-19 adalah bersifat dinamik.

Kajian itu juga meletakkan Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh sebagai ketua parti yang paling popular.

Ketua Penyelidik 02 Research Malaysia, Anis Anwar Suhaimi berkata, cabaran dihadapi Muhyiddin dalam memimpin PN berbeza dengan BN selaku kerajaan dominan selama 60 tahun tetapi mirip kepada kerajaan minoriti PH yang hanya sempat bertahan selama 22 bulan.

"60 tahun era BN, kerajaan dipimpin oleh UMNO sebagai parti komponen dominan namun pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tiada lagi satu parti dominan. Bagi PN sendiri, mereka memerlukan kerjasama dua parti (gabungan PN-BN) untuk kekal sebagai kerajaan," katanya.

Anis Anwar
Anis Anwar

Selain menampilkan teknokrat popular yang kompeten, barisan Kabinet yang membantu urus tadbir kerajaan, rundingan politik antara parti gabungan khususnya dengan BN turut membolehkan kerajaan PN bertahan dan terus berkhidmat kepada rakyat.

"Walaupun sentimen hari ini menunjukkan strategi BN cuba menjauhkan diri daripada dasar-dasar kerajaan PN, namun mereka masih kekal dalam kerajaan demi memastikan rakyat tidak menjadi mangsa kepada pergelutan politik yang tidak berkesudahan," katanya.

Bagi membuktikan kejayaan sebagai kerajaan dan pada masa sama memiliki kelangsungan politik lebih baik daripada kerajaan PH, Anis Anwar berkata, PN perlu bertahan sekurang-kurangnya lebih 10 bulan akan datang.

"PN perlu bertahan lebih dari 10 bulan akan datang atau sekurang-kurangnya sehingga menjadi kerajaan sementara (caretaker government) sekiranya Parlimen dibubarkan kurang 10 bulan atau pada tahun ini," katanya.