Budak lelaki lemas mandi kolam

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

ALOR GAJAH - Seorang kanak-kanak lelaki ditemui lemas selepas terjatuh dalam sebuah kolam di Kampung Bukit Bun Bun, Kuala Sungai Baru, di sini.

Sebelum kejadian itu, difahamkan mangsa, Muhammad Jefrey Iskandar Abdullah, 8, dilihat sedang bermain dan mandi kolam bersama adik-beradiknya kira-kira jam 6 petang, semalam.

Sumber memaklumkan, kejadian disedari apabila seorang daripada adik-beradik mangsa mendapatkan bantuan daripada orang kampung pada jam 7 malam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan A Asmadi Abd Aziz berkata, mangsa dipercayai mati lemas di tempat kejadian.

"Seorang lelaki berusia 20 tahun iaitu orang kampung terbabit bergegas ke kolam itu sebaik seorang daripada kanak-kanak yang bermain di situ memberitahunya mangsa lemas. Lelaki terbabit cuba mencari mangsa dalam kolam sebelum menemuinya terapung di permukaan air lalu menarik mangsa ke darat," kata Asmadi, ketika dihubungi.

Beliau berkata, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh penolong pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Lubuk Cina, yang tiba di lokasi kejadian kira-kira jam 7.50 malam.

Tambah Asmadi, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Artikel Berkaitan: