X

Kindly register in order to view this article
!

Lapan peluru berpandu, 14 dron Houthi serang Arab Saudi

Gambar fail menunjukkan sebuah kemudahan minyak syarikat Saudi Aramco yang terdapat di Riyadh. - Foto AFP
A
A

RIYADH - Kumpulan bersenjata Houthi mengaku melancarkan lapan serangan peluru berpandu dan 14 dron yang membawa bahan letupan ke arah sasaran-sasaran di Arab Saudi pada Ahad, lapor portal berita Xinhua.

Menurut jurucakap kumpulan itu, Yahya Sarea, serangan itu menyasarkan kemudahan-kemudahan minyak syarikat Saudi Aramco di Pelabuhan Ras al-Tannura di wilayah Dammam dan beberapa sasaran lain di wilayah Asir dan Jazan.

Beliau yang bercakap dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh Kumpulan TV Al-Masirah berkata, serangan itu akan diteruskan ke arah Arab Saudi selagi perang dan kepungan ke atas Yemen masih berlaku.

Serpihan daripada serangan peluru berpandu itu jatuh akibat dipintas oleh tentera Arab Saudi dekat kawasan kediaman penduduk di Dhahran tetapi tidak menyebabkan kecederaan dan kematian serta kemusnahan.

Sementara itu pada awal Ahad lalu, pasukan tentera perikatan diketuai Arab Saudi melancarkan satu siri serangan ke atas lokasi tapak ketenteraan di Sanaa, Yemen, kata beberapa penduduk.

Serangan itu menyasarkan Kem Divisyen Pertama, Kem Penyelenggaraan dan Briged ke-4 di bandar Sanaa selain di Attan di bahagian tengah ibu negara Yemen itu.

Ia dilancarkan bagi membalas serangan kumpulan Houthi yang meningkatkan serangan peluru berpandu dan dron ke bandar-bandar Arab Saudi.

Yemen terlibat dalam perang saudara sejak tahun 2014 apabila kumpulan Houthi yang mendapat sokongan Iran menawan beberapa wilayah utara Yemen dan menyebabkan kerajaan diiktiraf masyarakat antarabangsa iaitu Presiden Abd Rabbu Mansour Hadi terpaksa meninggalkan Sanaa.

Tentera perikatan yang diketuai Arab Saudi kemudian campur tangan ke dalam konflik Yemen pada tahun 2015 bagi menyokong kerajaan Hadi. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!