Lawatan polis bukan tajaan Kementerian Kewangan

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kewangan nafi menaja lawatan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan delagasi polis yang ketika ini berada di Turki.

Menterinya, Lim Guan Eng menjelaskan, lawatan itu bukan diluluskan oleh kementeriannya sebaliknya Lembaga Pengarah Totalisator Malaysia.

Totalisator Malaysia merupakan syarikat di bawah Kementerian Kewangan.

Menurut Guan Eng, pihaknya akan menilai semula tentang keperluan untuk meluluskan lawatan seumpama itu pada masa hadapan.

“Prosedur sekarang ialah selagi ada kelulusan lembaga pengarah, mereka tidak perlu rujuk kepada kementerian.

“Selepas ini kita hendak tengok semula sama ada perlu Totalisator Malaysia mendapat kelulusan untuk lawatan seperti itu,” katanya.

Guan Eng berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan cek peruntukan bernilai RM50 juta kepada sekolah tahfiz berdaftar yang disampaikan kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof di kementeriannya di sini hari ini.

Jawapan Guan Eng itu dibuat ketika diminta mengulas tentang isu lawatan delegasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diketuai Mohamad Fuzi dalam salah satu usaha untuk menangani masalah perjudian online.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya telah meluluskan lawatan berkenaan yang ditaja oleh Lembaga Totalisator Malaysia iaitu agensi di bawah Kementerian Kewangan.

Muhyiddin berkata demikian bagi menafikan dakwaan portal Sarawak Report bahawa lawatan tersebut adalah tanda terima kasih terhadap jasa-jasa pegawai tinggi polis yang menyertainya.

Portal Sarawak Report pada dua hari lalu melaporkan bahawa beberapa pegawai tinggi PDRM termasuk Ketua Polis Negara pergi ke Turki atas tujuan peribadi.

Mengulas lanjut, Guan Eng turut memberitahu, kementerian tidak pernah memberi bantuan kewangan pun kepada Totalisator Malaysia sebaliknya syarikat itu mendapat dana dari syarikat nombor ramalan, Damacai.

Katanya, lawatan delegasi PDRM ke Turki bertujuan untuk mempelajari cara untuk membanteras judi dalam talian.