X

Kindly register in order to view this article
!

Malaysia perlu agresif dalam penggunaan teknologi digital

Malaysia perlu lebih agresif dalam merealisasikan penggunaan teknologi digital bagi meningkatkan lagi produktiviti negara. Foto 123RF
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia perlu lebih agresif dalam merealisasikan penggunaan teknologi digital bagi meningkatkan lagi produktiviti negara, kata Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Abdul Latif Abu Seman.

Beliau berkata, langkah kerajaan melalui Pelan Pembangunan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) merupakan salah satu pemacu utama bagi peningkatan produktiviti dan diharapkan dapat memenuhi hasrat kerajaan mencapai 22.6 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar yang akan disumbangkan oleh ekonomi digital.

“Inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam mengharungi cabaran pandemik Covid-19 telah membentuk asas kepada pemulihan dan pertumbuhan semula produktiviti dan ekonomi Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Justeru, Abdul Latif menyeru para peniaga untuk melabur dalam teknologi digital, sama ada melalui perisian, perkakasan atau keselamatan digital bagi menyokong model perniagaan mereka di samping menumpu ke arah mempertingkat produktiviti pekerja dan organisasi.

“Penyampaian peraturan kerajaan seperti urusan perlesenan, garis panduan serta data-data yang boleh memudahkan urusan peniaga dan rakyat perlu didigitalkan,” katanya.

Menurutnya, ini termasuk pelbagai kandungan yang perlu didigitalkan dengan memaparkan di laman web dalam bentuk video yang digemari rakyat kerana senang diakses menggunakan peranti telefon mudah alih.

Selain itu, beliau juga menyarankan penjawat awam, peniaga dan rakyat supaya meningkatkan pengetahuan dan kemahiran berkaitan teknologi digital.

“Kemahiran menggunakan peranti elektronik untuk melayari dan mencari maklumat daripada pelbagai sumber di Internet, amatlah mustahak dan bermanfaat.

“Persoalannya, bagaimana kita mencari dan menganalisis maklumat yang ada untuk memperbaiki atau memberi nilai tambah kepada perkhidmatan awam, perniagaan dan diri kita. Kemahiran ini yang boleh meningkatkan produktiviti individu, organisasi dan negara,” ujar Abdul Latif. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!