X

Kindly register in order to view this article
!

Azmin minta UMNO kaji semula keputusan

Mohamed Azmin Ali - Foto Bernama
A
A

HULU KELANG - Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berharap pimpinan 'tertentu' dalam UMNO meneliti semula keputusan parti itu untuk menolak kerjasama dengan PN.

Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri) itu berkata, pihaknya tidak mahu tindakan yang dilakukan secara tidak bertanggungjawab menyebabkan kestabilan negara dan kerajaan terjejas.

Menurutnya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengambil pendirian untuk meneruskan kerjasama bersama anggota parti dalam PN sebagai usaha memastikan kestabilan dalam negara dipelihara.

"PN dibentuk dengan cita-cita murni, perpaduan itu penting, pemeliharaan Perlembagaan dan undang-undang mesti dijunjung oleh anggota parti PN.

"Kita mahu kestabilan dalam negara dipelihara. Ketidakstabilan dalam kerajaan akan menyebabkan rakyat menjadi mangsa.

"Disebabkan itu, Bersatu mengambil pendirian yang jelas, kita akan meneruskan kerjasama dengan anggota parti dalam PN sedia ada dan kita bersedia bekerjasama dengan semua pihak yang mahu kestabilan ini diperkukuhkan," katanya selepas menyampaikan sumbangan di Balai Polis Hulu Kelang, AU3 di sini.

Khamis lalu, Bersatu mengesahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menghantar surat berhubung pendirian parti itu kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

ARTIKEL BERKAITAN: Sah UMNO putuskan hubungan dengan Bersatu

Surat itu menyatakan bahawa UMNO tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-15 dan parti itu hanya akan bekerjasama dengan PN sehingga Parlimen dibubarkan.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata, Bersatu mengambil ketetapan akan meneruskan usaha untuk memupuk perpaduan dan keharmonian dalam negara khususnya dalam PN.

"Bersatu akan pastikan anggota PN berpegang kepada prinsip yang jelas bahawa pembentukan kerajaan PN untuk menjamin kestabilan, urus tadbir bersih dan bertanggungjawab, menjamin kebebasan badan kehakiman serta menjunjung keluhuran Perlembagaan dan undang-undang negara.

"PN akan terus berusaha untuk memupuk perpaduan dalam kerajaan. Kita ambil sikap terbuka untuk bekerjasama dengan parti politik yang memegang prinsip jelas dan cukup integriti bagi memastikan nasib rakyat diutamakan," katanya.

Pada majlis itu, Mohamed Azmin menyerahkan sumbangan RM25,000 kepada Balai Polis Hulu Kelang, AU3 untuk kegunaan pembelian perabot dan kemudahan fasiliti.

Sebelum itu beliau menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Hidayah Taman Melawati, Hulu Kelang.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!