Sarawak bantu pelajar bayar balik pinjaman PTPTN

Sarawak menyediakan peruntukan RM30 juta bagi membantu pelajar dalam kalangan anak Sarawak yang berhadapan masalah untuk membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Sarawak menyediakan peruntukan RM30 juta bagi membantu pelajar dalam kalangan anak Sarawak yang berhadapan masalah untuk membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
A
A
A

KUCHING - Sarawak menyediakan peruntukan RM30 juta bagi membantu pelajar dalam kalangan anak Sarawak yang berhadapan masalah untuk membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), menjadikan ia satu-satunya negeri yang mengambil inisiatif sedemikian bagi membantu secara terus pelajarnya membayar pinjaman itu.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kesulitan pelajar-pelajar ini didengar beliau sendiri sewaktu satu dialog bersama pelajar-pelajar Sarawak di Semenanjung Malaysia dalam Program Lan Berambeh Anak Sarawak di Kuala Lumpur pada Oktober 2019.

“Hasil dialog itu, saya memberi peruntukan dalam bajet yang lepas sebanyak RM30 juta untuk membantu mereka membayar hutang kepada PTPTN,” katanya ketika berucap di Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman antara Yayasan Sarawak dan PTPTN di pejabatnya di sini pada Jumaat.

Di bawah memorandum itu, Yayasan Sarawak akan memanfaatkan peruntukan kerajaan negeri bagi menyediakan insentif kepada pelajar-pelajar Sarawak yang telah membayar balik sekurang-kurangnya 30 peratus daripada pinjaman PTPTN, untuk menyelesaikan 30 peratus daripada baki pinjaman mereka itu.

Abang Johari berkata, Yayasan Sarawak mempunyai mekanismenya sendiri dalam menguruskan pembayaran balik pinjaman oleh pelajar-pelajar ini yang diharap beliau akan dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi pelajar-pelajar berkenaan.

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid semasa berucap di majlis sama berkata, inisiatif itu merupakan satu usaha proaktif, yang memperuntukkan amaun cukup besar bagi membantu pelajar melunaskan pinjaman pendidikan mereka.

“Sewajarnya inisiatif kerajaan negeri Sarawak ini dipuji dan menjadi ikutan serta contoh kepada kerajaan negeri lain dalam membantu rakyatnya membayar baki hutang pinjaman PTPTN,” katanya.

Katanya, sehingga 31 Disember lepas, PTPTN telah menyalurkan pinjaman berjumlah RM4.7 bilion kepada 195,350 pelajar di seluruh negara dan seramai 3,429 peminjam dikecualikan daripada membuat bayaran balik berjumlah RM88.7 juta kerana memperolehi Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah Yayasan Sarawak Azmi Bujang dalam ucapan beliau pada majlis yang sama berkata, inisiatif ini adalah untuk membantu peminjam PTPTN dalam kalangan anak-anak Sarawak untuk membayar balik pinjaman mereka.

Katanya, seramai 9,000 orang pelajar Sarawak layak untuk mendapat manfaat daripada insentif itu setelah melalui tapisan oleh PTPTN. - Bernama