Apabila dulang dibalas dengan dulang...

No Image Caption
A
A
A

ADALAH agak lucu, namun benar apabila kolumnis Sinar Harian, Norman Fernandez dalam kiriman pesanannya kepada rakan-rakan dalam satu kumpulan WhatsApp mengibaratkan balas membalas surat di antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam kes ‘perpisahan’ mereka tidak ubah seperti pepatah Melayu − dulang dibalas dengan dulang.

Yang membezakannya ialah upacara dulang dibalas dengan dulang dibuat ketika majlis hantaran perkahwinan atau pertunangan.

Namun dalam kes UMNO dan Bersatu ini, balas membalas dulang berkenaan berlaku di saat perpisahan. Jadi terbalik pula dah.

Hantaran dulang dibalas dengan dulang di antara UMNO dengan Bersatu ini juga sudah jelas lagi nyata. Tiada lagi unsur misteri dan suspen sepertimana kandungan dulang yang dihantar oleh pasangan pengantin lelaki dan perempuan yang antara lainnya ialah kotak misteri yang mengandungi hantaran yang tidak diketahui apa isi di dalamnya.

Cuma apa yang baiknya ialah, UMNO dan Bersatu masih tetap mengekalkan cara Melayu iaitu berbalas dulang (dalam hal ini berbalas surat menyurat).

Ini pun tidak ubah sepertimana adat istiadat dan resam Melayu sesuai dengan latar belakang mereka selaku parti-parti Melayu.

Hantaran merupakan salah satu budaya dalam masyarakat Melayu yang penting lebih-lebih lagi bagi orang tua yang masih mengikut adat resam sebagai satu tuntutan dalam perkahwinan.

Kalau pada zaman dahulu, hantaran diberi dalam bentuk makanan seperti manisan dan kuih-muih, cukup berbeza jika nak dibandingkan dengan masa kini.

Artikel Berkaitan:

Hari ini, hantaran lebih menjurus kepada pemberian barangan yang elok-elok lagi sedap mata memandang seperti pakaian, wangi-wangian, alat elektronik atau jam tangan mewah.

Budaya menyembunyikan hantaran dulang − iaitu misteri apa yang ada di dalam kotak − turut menjadi sebahagian daripada elemen penting hantaran.Tetapi hantaran surat menyurat di antara UMNO dengan Bersatu sudah tidak ada rahsia. Kandungannya amat jelas sekali − berterus-terang.

Bukan berterus-terang mahu mendirikan rumah tangga sebaliknya mahu berpisah.

Ada rakan-rakan dalam kumpulan WhatsApp bertanya kembali, soalnya mereka dah sah bercerai ke belum?

Jawapannya itu juga sangat jelas dan nyata. Hasrat untuk berpisah telah pun diputuskan dan dinyatakan di dalam surat-surat berkenaan namun belum dimuktamadkan sahaja lagi sehinggalah Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri dibubarkan.

Sehingga itu berlaku, mereka memutuskan untuk terus kekal bersama.

Ia samalah seperti pasangan suami-isteri yang mahu berpisah. Niat dah pasang dan mungkin pun sudah dilafazkan namun ia tidak menjadi muktamad selagi belum dilakukan di hadapan hakim dan di dalam mahkamah.

Dalam kes UMNO dan Bersatu ini, mahkamahnya ialah pembubaran dewanlah. Sehingga itu mereka kekal sebagai satu pasangan demi kerukunan rumahtangga (kerajaan) dan demi kerukunan dan perasaan anak-anak (kabinet).

Keputusan dah dibuat, cuma tunggu masa yang sesuai sahaja untuk dimuktamadkan.

Begitulah ceritanya mengenai UMNO dan Bersatu ini.

* Rozaid Rahman ialah Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian