Masa terbaik buat pelaburan emas

No Image Caption
A
A
A

SEJAK dunia dilanda pandemik Covid-19, orang ramai beratur mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) adalah perkara biasa yang boleh dilihat di mana-mana, baik di pasar raya, bank, pejabat, kedai mahupun gerai-gerai makanan di tepi jalan bagi memenuhi urusan harian.

Bagaimanapun jangan terkejut jika sejak akhir-akhir ini semakin ramai orang dilihat beratur di kedai emas. Malah, media sebelum ini pernah melaporkan situasi orang ramai sanggup menyerbu dan bersesak dalam kedai emas.

Melihat situasi itu, tidak hairan jika banyak barangan kemas seperti gelang, rantai mahupun cincin laku keras terjual di kedai-kedai emas di seluruh pelosok di negara ini.Sebut sahaja gelang emas pulut dakap, gelang biskut tawar, gelang roti bun, gelang lipan, gelang gajah, gelang biji anggur, gelang ekor kucing, hinggalah corak reka bentuk terkini gelang daun ketum pastinya laris terjual bak pisang goreng panas.

Fenomena luar biasa beli emas itu tercetus sejak berita pengumuman penemuan vaksin Covid-19 pada hujung tahun lalu yang memberi kelegaan kepada semua orang di dunia termasuk di Malaysia yang menjadi faktor utama penurunan harga emas secara mendadak.

Menurut Perunding Pelaburan Emas, dari awal Januari sehingga Ogos tahun lalu, berlaku trend kenaikan harga emas sebanyak 37 peratus dan pernah melebihi RM300 segram, namun bermula awal tahun ini, harga emas jatuh semula sekitar RM220 hingga RM250 segram.

Faktor harga emas naik juga disebabkan ancaman Covid-19 yang telah menjejaskan ekonomi seluruh dunia dan orang ramai tidak berani berbelanja dan menyebabkan pelabur memilih emas sebagai aset selamat.Namun, apabila berita vaksin Covid-19 dijumpai tersebar, ia dilihat sedikit sebanyak mengurangkan risiko ancaman Covid-19 dengan pakar ekonomi dan pelaburan berpendapat ekonomi dunia akan kembali pulih.

Berita itu jugalah mendorong penurunan harga emas dan orang ramai mengambil peluang untuk membelinya sebagai pelaburan.

Rata-ratanya menganggap ketika inilah yang paling sesuai untuk mendapatkan barangan kemas kerana harganya sedang murah.

Artikel Berkaitan:

Selain faktor harga emas turun, kemudahan pelbagai bantuan dana dari kerajaan serta pengeluaran i-Sinar merancakkan lagi hasrat orang ramai untuk membuat pelaburan bagi membeli emas.

Berdasarkan kajian yang dilakukan Pusat Penyelidikan Undian UCSI, hampir separuh daripada golongan T20 yang telah memohon atau merancang untuk memohon pengeluaran i-Sinar menggunakannya untuk membuat pelaburan bagi membeli emas dan saham.

Lebih bermakna program i-Sinar kini diperluaskan lagi kepada semua ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan had pengeluaran maksimum RM10,000 secara berperingkat mulai bulan ini.

Maka tidak hairanlah, lebih ramai lagi akan beratur di kedai-kedai emas, tak kira wanita atau lelaki, tua atau muda menunggu giliran untuk mendapatkan barangan kemas demi pelaburan.

Pelaburan jangka panjang

Menurut pakar ekonomi, pulangan emas lebih stabil dan tidak bersifat spekulatif sebagaimana pasaran saham.

Antara Januari sehingga April 2020, harga emas meningkat 18 peratus dan pada Ogos lalu harganya melebihi AS$2,000 seauns atau kira-kira lebih RM300 satu gram.

Bagi pelaburan jangka panjang, emas turut menunjukkan trend positif sejak 20 tahun lalu.

Pelaburan emas bukan sahaja dalam bentuk barang kemas, malah juga dalam dinar dan jongkong emas. Pelaburan emas dalam bentuk barang kemas paling mudah menarik perhatian kaum hawa.

Selain rekaan yang cantik dan menarik, barangan kemas berfungsi 4 dalam 1 iaitu perhiasan, simpanan, pelaburan dan perniagaan.

Barangan kemas juga mudah untuk mendapatkan tunai kerana diterima di semua kedai pajakan atau Ar-Rahnu.

Sebaiknya jika untuk simpanan, pilih yang jenis padu dan emas 999 atau emas 916.

Elakkan yang mempunyai banyak batu permata. Elakkan juga membeli emas putih kerana susut nilainya mencecah sehingga 70 peratus.

* Arney Syema Anua ialah Web Editor Sinar Online