X

Kindly register in order to view this article
!

Buat saja sidang Parlimen secara online, kata Syed Saddiq

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
A
A

SHAH ALAM - Tindakan kerajaan yang enggan membenarkan Parlimen untuk kembali bersidang merupakan sesuatu yang menghairankan, kata Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata, alasan yang digunakan kerajaan bagi memutuskan perkara tersebut adalah tidak berasas.

“Saya cukup hairan dengan keputusan ini lebih-lebih lagi apabila kerajaan menggunakan alasan darurat dan risiko tinggi ahli Parlimen untuk bersidang.

“Nak buka pasar malam waktu darurat, boleh. Nak buka sekolah untuk anak-anak murid waktu darurat, boleh. Nak buka panggung wayang waktu darurat pun boleh.

“Tapi nak buka Parlimen bersidang untuk bahas soal rakyat dan negara, tiba-tiba tak boleh,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan putus tiada keperluan adakan sidang Parlimen

Pada Rabu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan memutuskan bahawa masih tiada lagi keperluan untuk sidang Parlimen diadakan ketika tempoh darurat.

Takiyuddin berkata, Jemaah Menteri membuat keputusan tersebut setelah mengambil kira beberapa faktor merangkumi aspek perundangan dan juga kesihatan ahli Parlimen.

Syed Saddiq berkata, kerajaan mempunyai pelbagai pilihan dan cara yang boleh dilakukan sekiranya benar-benar mahu mengadakan persidangan Parlimen.

“Sekalipun bermacam-macam alasan yang dibuat oleh kerajaan untuk mengelak daripada Parlimen bersidang, buat sahaja persidangan secara online.

“Kalau sekumpulan orang muda boleh sahaja buat Parlimen Digital untuk 222 wakil Parlimen Digital bersidang, mengapa kerajaan tidak ada ikhtiar untuk berbuat perkara yang serupa?

“Saya pasti sebenarnya banyak sahaja peluang untuk Parlimen dan kerajaan buat persiapan untuk bersidang. Kalau nak buat ujian calitan setiap minggu kepada ahli Parlimen pun, buatlah. Asalkan dapat bersidang,” katanya.

Pada masa sama, Syed Saddiq turut mempersoalkan keseriusan kerajaan dalam responsnya terhadap titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenaan dengan isu pembukaan semula persidangan Parlimen.

“Adakah kerajaan pura-pura tidak mendengar titah Yang di-Pertuan Agong bahawa Parlimen boleh bersidang walaupun darurat sudah diisytihar?

“Kerajaan yang takut pada institusi demokrasi ini adalah kerajaan yang tidak menghormati suara dan mandat rakyat,” katanya.

Pada 24 Februari lalu, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.

ARTIKEL BERKAITAN:


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!