X

Kindly register in order to view this article
!

Majlis Setiausaha PH kesal alasan Takiyuddin

Laporan Sinar Harian berhubung keputusan kerajaan bahawa masih tiada lagi keperluan untuk mengadakan sidang Parlimen ketika tempoh darurat.
A
A

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) kesal dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berhubung alasan Jemaah Menteri tidak menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen bersidang.

Majlis Setiausaha PH dalam satu kenyataan berkata, kesemua alasan yang diberikan Takiyuddin adalah lemah, dangkal dan tidak menghormati titah nasihat Yang di-Pertuan Agong pada 24 Februari lalu yang menyatakan Parlimen boleh bersidang sewaktu darurat berkuat kuasa.

“Kekeliruan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, kemarahan rakyat tentang isu ‘antara dua darjat’ dalam penguatkuasaan, bantuan kerajaan yang tidak sampai atau tidak mencukupi dan banyak masalah lain adalah sebab utama mengapa Parlimen mesti bersidang segera.

“Sebagai institusi ulung demokrasi negara kita, Parlimen turut berfungsi sebagai tempat proses semak imbang pengurusan kerajaan dilakukan.

“Tanpa Parlimen termasuk Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara, proses semak imbang tersebut telah ‘dimatikan’,” kata kenyataan berkenaan pada Rabu.

Kenyataan itu dikeluarkan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli dan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook.

Takiyuddin sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan memutuskan masih tiada lagi keperluan untuk sidang Parlimen diadakan ketika tempoh darurat.

Beliau berkata, Jemaah Menteri membuat keputusan tersebut setelah mengambil kira beberapa faktor merangkumi aspek perundangan dan kesihatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan putus tiada keperluan adakan sidang Parlimen

Mengulas lanjut, Majlis Setiausaha PH berkata, dalam isu jangkitan Covid-19 dalam kalangan ahli Parlimen, Takiyuddin tidak menyatakan kepada media bahawa berdasarkan bukti dan data sepanjang 55 hari bersidang tahun lalu, tiada seorang daripada mereka menjangkiti Covid-19 di Parlimen itu sendiri.

“Tiada satu pun kluster Covid-19 yang dibuktikan terhasil akibat persidangan Parlimen.

“Perlu diingatkan bahawa pada waktu itu, belum seorang ahli Parlimen yang telah menerima vaksin,” katanya.

Menurutnya, fakta berkenaan membuktikan bahawa langkah-langkah dan SOP yang diambil bagi perjalanan sidang Parlimen pada tahun lalu berkesan dan boleh bersidang sekarang tanpa lengah.

“Majlis Setiausaha tidak boleh menerima alasan-alasan menteri.

"Pada ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat dan diganti dengan PKP Pemulihan atau PKP Bersyarat, pada ketika lebih banyak sektor ekonomi dibenar beroperasi dan pada ketika pihak Eksekutif serta Kehakiman boleh berfungsi, tiada alasan lagi untuk Parlimen tidak bersidang sesegera mungkin,” katanya.

Menurutnya, Jemaah Menteri perlu menjunjung kasih atas titah nasihat Yang di-Pertuan Agong serta menasihati Seri Paduka Baginda untuk memanggil sidang Parlimen segera.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!