Ke mana duit masjid kita?

Sumber foto: Kashoorga
Sumber foto: Kashoorga
A
A
A

BARU-BARU ini kekesalan yang diluahkan oleh Datuk Osman Muda, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) mengenai terdapat sebilangan masjid di negeri itu tidak membelanjakan wang kutipan tabung masing-masing sehingga ada tabungan mencecah hampir RM1 juta.

Dalam program Multaqa Amil Zakat Terengganu 2019 tersebut, beliau meminta supaya setiap ahli jawatankuasa masjid lebih pro aktif dalam memainkan peranannya bagi memperkasakan tabung masjid di kariah masing-masing. Ujar beliau juga, masjid tidak sepatutnya menyimpan kutipan wang tabung begitu banyak tanpa mencari kaedah terbaik memanfaatkannya semula kepada orang ramai.

Pelbagai pihak memberikan komentar terutama warga maya di media sosial. Perkara ini sebenarnya bukan asing dalam masyarakat kita. Zaman kini masyarakat sudah menginjak ke hadapan terutama dalam mengutarakan isu yang melibatkan pengurusan masjid yang merupakan institusi yang penting dalam menegakkan syiar Islam di atas muka bumi ini.

Kita bukan mencari salah sesiapa berkaitan perkara ini, yang ingin dikenal pasti sampai bilakah perkara seperti ini akan berterusan. Adakah masyarakat boleh berbangga dengan angka simpanan masjid yang semakin bertambah dipamerkan di papan kenyataan masjid sedangkan terdapat masih ramai anak kariah yang memerlukan bantuan serta masjid tidak diimarahkan dengan sebaiknya.

Mulianya pengurusan masjid

Mereka yang terlibat dalam pengurusan masjid merupakan golongan yang beruntung di sisi agama. Khabar gembira ini dirakamkan melalui firman ALLAH dalam al-Quran pada Surah At-Taubah ayat 18 yang bermaksud “Hanyalah yang memakmurkan masjid-masjid ALLAH ialah orang-orang yang beriman kepada ALLAH dan hari kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapa pun) selain ALLAH, maka merekalah yang termasuk golongan orang-orang yang selalu mendapat petunjuk (daripada ALLAH)” Melalui ayat ini menunjukkan betapa besarnya keutamaan mereka yang terlibat memakmurkan masjid yang didirikan kerana ALLAH, bahkan perbuatan terpuji ini menterjemahkan bukti benarnya iman dalam hati seorang hamba kepada ALLAH .

Sehubungan itu, Imam Ibnul Jauzi menukilkan yang dimaksudkan dengan memakmurkan masjid dalam ayat di atas mempunyai dua pendapat iaitu pertama, mereka yang selalu mendatangi masjid dan beriktikaf di dalamnya (untuk beribadah kepada ALLAH). Kedua, mereka yang terlibat dalam aktiviti pengurusan dan pengimarahan masjid. Oleh yang demikian, Imam al-Qurthubi menegaskan bahawa firman ALLAH ini merupakan dalil yang menunjukkan bahawa mempersaksikan orang-orang yang memakmurkan masjid dengan keimanan merupakan penyaksian yang benar, kerana ALLAH mengaitkan keimanan dengan perbuatan terpuji tersebut.

Masjid sebagai pusat sehenti

Artikel Berkaitan:

Kebanyakan masjid kini sudah berubah wajah terutamanya di kawasan-kawasan bandar. Masjid bukan hanya menjadi tempat untuk didirikan solat semata-mata, namun juga sebagai pusat sehenti pelbagai kegiatan masyarakat seperti penganjuran pelbagai program keilmuan, pusat kebajikan dan aduan masyarakat terutamanya mengenai permasalahan agama dan sebagainya.

Malah, terdapat juga masjid yang meningkatkan ekonomi dengan aktiviti jihad perniagaan yang dijalankan di sekitar masjid seperti mempunyai dewan dan lot niaga yang boleh disewakan oleh masyarakat setempat dengan harga yang berpatutan dan hasilnya disumbangkan kembali untuk merancakkan aktiviti pengimarahan masjid.

Selain itu, pejabat masjid yang sebelum ini sunyi daripada pengunjung bertukar kepada mesra jemaah dengan pelbagai penganjuran misalnya ‘kempen kongsi rezeki’ yang secara tidak langsung dapat membantu masyarakat setempat yang memerlukan. Pengurusan masjid yang pro aktif juga dapat bertindak sebagai mata rantai kepada agensi berkaitan seperti institusi zakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat, pejabat agama Islam daerah sekiranya terdapat permasalahan daripada ahli kariah untuk diajukan kepada pihak yang berkaitan.

Selain penganjuran pelbagai majlis ilmu secara bulanan mahupun mingguan, pihak pengurusan masjid juga boleh menganjurkan pelbagai program berkala secara tahunan seperti program kembali ke sekolah ketika musim persekolahan dibuka bagi membantu anak kariah yang kurang berkemampuan.

Program santuni asnaf sebegini juga dapat merapatkan jurang antara mereka yang berkemampuan dan sebaliknya. Majlis ilmu yang dianjurkan bukan sekadar-kadar pencerahan mengenai ilmu agama, malah boleh disebar luaskan antara perkongsian mengenai ilmu kesihatan bersama pakar-pakar perubatan, ilmu celik kewangan bersama mereka yang terlibat dalam industri kewangan, program bersama anak muda dan sebagainya yang impaknya memberi kesan positif kepada masyarakat setempat.

Sedar atau tidak, kini masyarakat amat cakna mengenai pengurusan masjid yang komited dengan aktiviti pengimarahan. Kebanyakan masjid yang aktif dan program imarahnya dijalankan secara efisien kebiasaannya akan menerima pelbagai sumbangan terutamanya dalam bentuk kewangan daripada masyakat awam. Perkara ini terjadi disebabkan kefahaman ilmu masyarakat hasil daripada kuliah-kuliah pengajian yang subur di merata masjid dan masyarakat inginkan sumbangan mereka dimanfaatkan dengan sebaiknya.

Daripada masyakat kepada masyarakat

Keselesaan pengunjung yang datang ke masjid juga merupakan elemen yang perlu dititik beratkan oleh pengurusan masjid. Bermula daripada susun atur serta kebersihan kawasan masjid, termasuk tandas dan tempat mengambil wuduk juga perkara yang perlu diutamakan. Bukankah bersuci itu merupakan perkara yang penting sebelum seseorang menunaikan solat, tambahan pula kebersihan itu separuh daripada iman.

Usaha ini sebenarnya bukan hanya dituding kepada pengurusan masjid semata-mata, malahan perlu diambil berat oleh kita semua selaku pengunjung masjid. Terutamanya harta benda masjid yang kebanyakannya adalah bersumberkan dana wakaf dan sumbangan orang ramai, perlulah dijaga dengan sebaiknya agar manfaatnya berterusan kepada masyarakat.

Sebaran meluas tentang pelbagai program pengimarahan dan aktiviti kebajikan masjid terutamanya melalui media sosial dan laman maya juga memberikan impak yang positif bagi menangkis tanggapan negatif masyarakat terhadap pengurusan masjid. Sepatutnya, masyarakat perlu berganding bahu menjayakan program-program pengimarahan masjid, bukan hanya menuding jari mencari kesalahan yang akhirnya mencetuskan konflik sesama ahli kariah.

Inilah sebenarnya pengajaran yang tersirat daripada Rasulullah SAW dalam peristiwa hijrah ketika tiba di Madinah dengan membina masjid yang dikenali sebagai Masjid Quba. Walaupun dibina dengan hanya berlantaikan pasir dan beratapkan pelepah tamar, namun ianya digunakan sebagai pusat kemasyarakatan dan pentadbiran umat Islam ketika itu.

Dalam perjalanan hijrah Rasulullah juga berakhir dengan pembinaan Masjid Nabawi, di samping mempersaudarakan antara kaum Ansar dan Muhajirin serta mewujudkan Piagam Madinah. Rupanya, di sebalik sirah ini tersingkap ibrah menunjukkan betapa pentingnya kedudukan masjid dalam Islam.

Jujur dan berintegriti

Dalam Tafsir al-Kabir, Imam Fakhruddin al-Razi menukilkan kisah ketika seorang musyrik ditawan dalam peperangan Badar, dia berkata kepada orang Islam yang berada di sekelilingnya; “Sekalipun kamu semua telah mendahului kami dengan Islam dan hijrah serta jihad, sesungguhnya kami telah mengimarahkan Masjidilharam sebelum ini.”

Oleh kerana itu, dakwaan orang musyrik tersebut telah disangkal oleh ALLAH menerusi ayat 17 dan 18 Surah al-Taubah yang bermaksud; “Tidaklah layak orang kafir Musyrik itu memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid ALLAH, sedang mereka menjadi saksi (mengakui) akan kekufuran diri mereka sendiri. Mereka itu ialah orang yang rosak binasa amalannya dan mereka pula kekal dalam neraka. Sesungguhnya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid ALLAH itu ialah orang yang beriman kepada ALLAH dan hari akhirat serta mendirikan solat dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada ALLAH.”

Oleh yang demikian, pengimarahan masjid juga bererti menjaga kehormatan dan kesucian masjid. Institusi masjid juga mesti diurus dengan jujur dan penuh integriti serta ikhlas bagi mendapatkan keredaan ALLAH. Tahniah diucapkan kepada pengurusan masjid yang komited merangka dan menyusun pelbagai program pengimarahan bagi manfaat masyarakat. Semoga ALLAH memberikan ganjaran sebaiknya seperti sabda Rasulullah SAW riwayat Tirmizi yang bermaksud: “Sesiapa yang membina untuk ALLAH sebuah masjid, ALLAH akan membina untuknya yang seumpamanya di dalam syurga.”

Beruntunglah kepada mereka yang terpilih memakmurkan rumah ALLAH terutamanya mereka yang mentadbir dan menguruskannya. Betapa besarnya kelebihan dan ganjaran kepada sesiapa sahaja yang mengimarahkan masjid secara fizikal sama ada dengan membina, membersih, dan mengemas masjid serta menyediakan kemudahan prasarana atau kelengkapan untuk keselesaan para tetamu ALLAH di masjid.

* Penulis merupakan penuntut PhD Pengajian Islam (Syariah), Universiti Sains Malaysia (USM)