X

Kindly register in order to view this article
!

Lebih selesa daripada rumah asal: Penerima rumah kurniaan Agong

Al-Sultan Abdullah (tiga dari kiri) bersama Tunku Azizah (dua dari kiri) berkenan mencurah simen di dalam tapak rumah baharu ketika berangkat mencemar duli meninjau rumah penduduk Kampung Lompat, Temerloh hari ini. - Foto Bernama
A
A

TEMERLOH - Warga emas, Ramlah Hitam tidak pernah menyangka dirinya berpeluang memiliki sebuah rumah yang sangat selesa pada usianya yang disifatkan 'sudah senja'.

Beliau yang berusia 81 tahun berkata, dirinya sangat bertuah apabila Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan rumah baharu selepas rumah asalnya di Kampung Lompat di sini rosak teruk akibat banjir baru-baru ini.

Rumah asal, menurut Ramlah diperbuat daripada kayu dan banjir selama seminggu mulai 4 Januari lepas menyebabkan rumahnya yang terletak kurang 100 meter dari Sungai Semantan ditenggelami air sehingga paras atap.

"Selepas banjir pulih, keadaan rumah begitu teruk. Bukan hanya selut memenuhi rumah, tapi dinding dan lantai juga rosak teruk... maklum saja rumah lama, sudah lebih 60 tahun mak cik tinggal di situ.

"Rezeki sungguh bila tok ampat datang dua minggu lepas untuk maklumkan yang mak cik akan terima rumah baharu. Bila tengok (gambar reka bentuk), nampak selesa dan cantik rumahnya," katanya semasa ditemui di rumahnya pada Selasa.

Ramlah yang tinggal berdua dengan anaknya, Siti Rokiah Zainal Abidin, 52, juga menjunjung kasih kepada Al-Sultan Abdullah yang berkenan mencemar duli memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux untuk ke tapak rumah yang akan dibina dengan menggunakan kurniaan peribadi Seri Paduka Baginda.

Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah ke tapak baharu itu pada jam 11.55 pagi turut diiringi Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan dua anakanda iaitu Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah.

Seri Paduka seterusnya berkenan mencemar duli meninjau dua buah rumah lagi di sini yang turut terjejas teruk akibat banjir besar awal tahun ini iaitu di Kampung Sungai Dingin dan Kampung Pengkalan Manggis.

Semasa bertitah, Al-Sultan Abdullah yang juga Sultan Pahang menzahirkan harapan untuk melihat rumah jenis bertiang setinggi 2.4 meter dengan tiga buah bilik tidur pada kos antara RM80,000 hingga RM100,000 itu dapat disiapkan mengikut jadual iaitu dalam tempoh empat bulan.

"Saya amat prihatin dalam hal ini dan akan datang melawat sekali lagi (selepas siap). Saya berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga dan mudah-mudahan tidak lagi ditenggelami banjir.

"Saya juga berharap di tempat lain juga harus diperbanyakkan rumah seperti ini (bertiang) dan semoga lebih ramai pihak swasta serta persendirian tampil membantu mereka yang tinggal di tepi Sungai Pahang atau sungai lain yang kerap dilanda banjir," titah Seri Paduka Baginda.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah yang juga berkenan meluangkan masa kira-kira setengah jam meninjau tapak baharu rumah di Kampung Pengkalan Manggis, seterusnya menitahkan supaya kontraktor menyiapkan kerja pembinaan dengan sempurna.

Pemilik rumah, Mohd Izzuddin Shamzudin, 32, yang merupakan penjawat awam menyifatkan kurniaan Al-Sultan Abdullah sebagai rezeki tidak disangka-sangka selepas rumahnya yang berdepan Sungai Pahang, rosak sepenuhnya akibat banjir.

"Saya membuat permohonan untuk membaiki rumah kayu yang ditenggelami air paras pinggang tapi rezeki datang bergolek apabila mendapat sebuah rumah baharu. Ini juga buat saya ialah rezeki mak dan keluarga kami.

"Semoga rumah ini siap segera kerana buat masa ini kami semua menumpang di rumah abang di Temerloh Jaya 2... segan juga berlama-lama di rumah orang walaupun adik-beradik sendiri," katanya.

Mohd Izzuddin berkata, beliau juga tidak menyangka selepas menerima berita gembira bakal mendapat rumah baharu, dirinya dapat merasai sendiri pengalaman keprihatinan Seri Paduka berdua yang berkenan mencemar duli ke rumah mereka pada Selasa. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!