Menteri ramai ke Semenyih bukan isu - Azmin

Naib Presiden Pakatan Harapan yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berucap ketika Majlis Pelancaran Bilik Gerakan Wanita Pakatan Harapan Pilihan Raya Kecil (PRK) N24 DUN Semenyih di Bandar Tasik Kesuma Beranang malam tadi. - Foto Bernama
A
A

SEMENYIH - Kehadiran ramai menteri ke kawasan Semenyih sejak kebelakangan ini bukanlah suatu isu dan tidak sepatutnya dikaitkan dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih kerana mereka berkhidmat sepanjang masa tanpa mengira berlaku pilihan raya atau tidak.

Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata kawasan Semenyih menerima pembangunan pesat sejak 2008 apabila gabungan parti pembangkang ketika itu mentadbir kawasan berkenaan dan daerah Hulu Langat.

"Baru-baru ini Perdana Menteri beritahu, beliau terkejut Semenyih kini dikenali sebagai bandar yang hebat dengan pembangunan teratur dan tersusun. Kami Pakatan Harapan (PH) bermula dari 2008 mahu pembangunan bukan saja berpusat di bandar tetapi juga dibawa ke luar bandar supaya rakyat dapat manfaat.

“Kalau kami tak turun dulu, tak mungkin Semenyih dan Hulu Langat dapat pembangunan seperti ini. Mana mungkin Semenyih dapat pembangunan jika kita tak turun ke sini sejak 2008," katanya ketika melancarkan Bilik Gerakan Wanita PH bagi PRK DUN Semenyih di sini malam ini.

Beliau yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata pengundi tidak boleh membandingkan isu dalam PRK Parlimen Cameron Highlands dengan PRK DUN Semenyih kerana PH belum pernah mentadbir negeri Pahang mahupun Parlimen Cameron Highlands.

Turut hadir pada majlis itu adalah Ketua Wanita PH Zuraida Kamaruddin, Ketua Wanita PKR Haniza Talha, Ketua Wanita Bersatu Datuk Seri Rina Harun dan Ketua Wanita Amanah Dr Siti Mariah Mahmud.

PRK Semenyih diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, yang merupakan Ketua Bersatu Bahagian Hulu Langat, pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.

Penamaan calon PRK Semenyih ditetapkan Sabtu ini, manakala hari mengundi awal pada 26 Feb dan pengundian pada 2 Mac. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia