X

Kindly register in order to view this article
!

Tok Mat mahu MOF atasi isu pinjaman tidak berbayar

Mohamad Hasan
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mahu Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan Bank Negara Malaysia mengambil tindakan dasar proaktif dalam mengatasi isu kenaikan pinjaman tidak berbayar (NPL).

Menurutnya, jumlah NPL mencapai paras tertinggi dalam tempoh sembilan tahun sebanyak RM28.7 bilion pada bulan terakhir tahun 2020.

"Trend peningkatan pinjaman terjejas direkodkan dalam kalangan isi rumah, sektor perdagangan borong dan runcit, restoran serta hotel setelah moratorium pinjaman menyeluruh berakhir.

“Bagi isi rumah, kehilangan pendapatan dan pengangguran menjejaskan kemampuan untuk memenuhi komitmen pembayaran pinjaman terutama yang berhutang tinggi,” katanya di Facebook pada Isnin.

Mohamad berkata, kegagalan pembayaran pinjaman sektor perniagaan pula disebabkan kehilangan hasil pendapatan dan penutupan perniagaan terutama pelancongan, peruncitan dan aktiviti rekreasi.

"Pinjaman terjejas secara keseluruhan dijangka meningkat melebihi 4 peratus daripada jumlah pinjaman pada akhir tahun 2021.

"Hal ini perlu ditangani kerana impak kenaikan kadar NPL dijangka melangkaui sektor kewangan dan menjejaskan usaha pemulihan ekonomi Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad mencadangkan bantuan pembayaran dan langkah bantuan lain harus dilanjutkan dan diperluaskan selari impak gelombang ketiga wabak Covid-19.

“Hal ini adalah kepentingan kolektif industri perbankan untuk terus menyokong perniagaan dan isi rumah yang layak sepanjang tempoh mencabar ini.

“Laporan keuntungan bersih beberapa bank utama pada tahun 2020 menunjukkan bahawa moratorium automatik selama enam bulan tidak mengakibatkan kerugian yang diramalkan sebelumnya oleh menteri kewangan.

“Maksudnya, bank-bank negara kita sebenarnya berdaya tahan akibat penimbal modal yang dibina selama ini,” katanya.

Mohamad berharap bahawa kerajaan melakukan yang terbaik untuk meringankan penderitaan golongan menghadapi kesulitan kewangan untuk mengelakkan kerosakan ekonomi tidak dapat dipulih.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!