X

Kindly register in order to view this article
!

PKPD di asrama pekerja Imperial Garments mulai esok

Ismail Sabri
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di asrama pekerja Imperial Garments Flat Anjung Tawas Damai, Perak selama 14 hari bermula esok, susulan peningkatan kes secara mendadak di lokaliti itu dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan berkata, keputusan itu diambil setelah penilaian risiko dijalankan yang sehingga kini menyaksikan sebanyak 213 orang dilaporkan positif Covid-19 daripada 524 ujian saringan.

Selain itu, kerajaan juga bersetuju melanjutkan PKPD di Penjara Tapah dan Kuarters Kakitangan, Batang Padang, Perak yang dijadual tamat esok, bermula 2 Mac hingga 15 Mac berikutan masih terdapat penularan jangkitan dalam kalangan tahanan.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 875 ujian saringan di penjara berkenaan dan daripada jumlah itu, sebanyak 178 kes positif Covid-19 telah direkodkan,” katanya.

PKPD di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Idris Shah II, Gerik, Perak pula akan ditamatkan esok seperti yang dijadualkan, setelah KKM mengesahkan tiada kes aktif di lokaliti berkenaan, keadaan terkawal serta tiada lagi sampel saringan yang sedang menunggu keputusan.

Berhubung kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Ismail Sabri memaklumkan, semalam seramai 509 individu ditahan dan daripada jumlah itu, 472 dikompaun manakala 37 lagi direman dengan aktiviti pusat hiburan merekodkan kesalahan tertinggi dengan 114 ditahan.

Operasi Benteng oleh Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia serta agensi-agensi keselamatan lain pula, menahan tujuh pendatang tanpa izin selain sebuah kapal dan tiga kenderaan darat dirampas. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!