MBM, Sinar Harian lancar kerjasama Gabungan Belia Rasuah Busters

Majlis Pelancaran Gabungan Belia Rasuah Busters yang diadakan secara maya pada Jumaat.
Majlis Pelancaran Gabungan Belia Rasuah Busters yang diadakan secara maya pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Belia Malaysia dan Sinar Harian melancarkan sebuah Gabungan Belia Rasuah Busters sebagai satu kerjasama untuk menjayakan kempen Sinar Rasuah Busters yang dilancarkan pada 16 Januari lalu.

Gabungan Belia Rasuah Busters merupakan satu gerakan bebas melibatkan lebih daripada 67 kumpulan belia di seluruh negara yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha berkata, kerjasama tersebut merupakan sebuah manifestasi sokongan gerakan belia kepada agenda penting di dalam negara iaitu melawan jenayah rasuah.

“Dengan gabungan ini, kita berhasrat untuk membentuk satu gabungan bebas yang berdiri di atas kapasiti masing-masing dan menjadi sayap dukungan kepada pergerakan sosial yang ingin melihat Malaysia menjadi sebuah negara yang lebih baik tanpa rasuah.

“Kita percaya bahawa untuk melakukan satu perubahan yang besar di Malaysia ini, kita perlu kepada satu gerakan sosial yang digerakkan oleh masyarat dan belia Malaysia yang sifatnya adalah non-partisan.

“Ini kerana kebanyakan masalah yang berlaku dalam negara kita ini sebahagiannya adalah kerana faktor rasuah yang menyebabkan pelbagai masalah sosial terus berleluasa dalam masyarakat Malaysia,” katanya ketika sesi dialog pada Majlis Pelancaran Gabungan Belia Rasuah Busters yang diadakan secara maya pada Jumaat.

Jufitri Joha
Jufitri Joha

Jufitri berkata, gabungan tersebut akan dikoordinasi oleh sebuah jawatankuasa yang dibentuk oleh sukarelawan daripada seorang ahli Dewan Tertinggi MBM, seorang Exco MBM dan dua wakil pertubuhan yang berada di luar organisasi tersebut.

Artikel Berkaitan:

Turut bersama pada majlis tersebut ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub.

Sementara itu, Hussamuddin berkata, golongan belia bertanggungjawab untuk menyediakan sebuah negara yang mana masyarakatnya mempunyai nilai, integriti dan tadbir urus yang tinggi.

Katanya, kebanyakan kesalahan rasuah disebabkan sistem nilai yang runtuh dan rosak dalam individu terbabit.

"Jadi orang muda perlu baiki dari peringkat bawah dengan menerapkan semula sistem nilai kepada setiap individu, keluarga dan masyarakat.

“Ini kerana sistem nilai adalah vaksin kepada mencegah jenayah rasuah dan perlu diuar-uarkan kepada semua,” katanya.

Hussamuddin Yaacub
Hussamuddin Yaacub

Hussamuddin berkata, golongan belia perlu menggerakkan usaha yang bermula daripada akar umbi sesuai dengan gerakan rakyat kepada rakyat.

Tambah beliau, MBM seharusnya menjadi menjadi penggerak utama kepada insiatif yang dimulakan Sinar Harian itu mengikut kemampuan dan keupayaan setiap organisasi yang berada di bawah naungannya.

“MBM perlu bergabung untuk menggerakkan gerakan belia dengan satu objektif yang sama dan menjadi satu kuasa besar dalam membanteras rasuah.

“Saya harap orang muda boleh ambil alih tugas dan mulakan gerakan dengan bersungguh-sungguh demi negara serta bangsa,” katanya.