Tinggalkan sahaja Eurocentrisme!

No Image Caption
A
A
A

KEUTUHAN dan keteguhan sesebuah negara adalah menerusi penyatuan rakyatnya tanpa mengira latar bangsa dalam mendokong aspirasi yang sama. Buktinya, kemerdekaan yang kita kecapi hari ini adalah hasil iltizam dan perjuangan pemimpin terdahulu yang meletakkan prinsip diplomasi mengatasi duluan konfrantasi mahupun revolusi

Malah, mereka turut memperakui kepentingan pendidikan yang sejak dahulu menjadi agenda utama negara.

Dalam konteks pembangunan dan kelestarian pendidikan tinggi negara, Universiti Teknologi Mara (UiTM) sememangnya telah terbukti keserlahannya dalam mendidik anak bangsa sejak ia mula ditubuhkan pada tahun 1956.

Situasi itu tidak mungkin dapat direalisasikan tanpa adanya perancangan dan kepimpinan akademik dalam kalangan warga universiti terbesar di Malaysia itu. Tahun 2021 bakal menyaksikan 50 tahun usia pengajian komunikasi di Malaysia yang didahului penawarannya oleh Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 1971.

Dalam membicarakan perihal bertapaknya pengajian ini di UiTM, ia tidak dapat lari daripada sosok yang telah begitu banyak berjasa iaitu Tun Dr Arshad Ayub yang merupakan Pengarah Institut Teknologi Mara (ITM) yang pertama dari tahun 1967 sehingga 1975.

Beliau merupakan tokoh yang bertanggungjawab dalam memperkenalkan pengajian komunikasi di ITM, kini UiTM pada tahun 1972. Segalanya bermula menerusi kunjungan delegasi yang diketuai oleh beliau ke Universiti Ohio, Athens, Amerika Syarikat yang telah membuka ruang kerjasama strategik dari sudut pengajian tinggi di Malaysia dengan universiti luar negara.

Akhirnya, pada 8 Jun 1972, tepat jam 2.30 petang bertempat di Bilik Pendaftar, Jalan Othman, Petaling Jaya, secara rasminya tertubuhlah Fakulti Sebaran Am yang sekali gus menandakan bermulanya peranan UiTM melahirkan graduan komunikasi yang mencorakkan komunikasi negara sama ada dari sudut amalan mahupun akademia.

Melewati tempoh masa lebih lima dekad bidang ilmu itu bertapak di Malaysia, ia telah melalui proses transformasi dan evolusi yang secara langsung melibatkan pembangunan kurikulum dan keperluan semasa atau lebih cenderung kepada kehendak industri.

Artikel Berkaitan:

Aspek falsafah, ruang lingkup mata kuliah dan paradigma yang mendominasi bidang kajian komunikasi perlu diperhalusi dan difahami. Ketika umum begitu ghairah memperdebatkan kesesuaian tunjang utama bidang komunikasi iaitu kewartawanan, ramai yang telah lupa pada hari ini segalanya adalah berkaitan dengan kewartawanan. Kewartawanan adalah tunjang utama yang telah memimpin komunikasi yang kemudiannya telah diterima sebagai payung utama bagi pengajian tersebut.

Bukanlah satu tugas mudah untuk memperjelaskan kerelevanan dan kemestian kewartawanan itu terus dipertahankan kerana dimensi pseudo telah dicipta dengan menghubungkaitkan kewartawanan adalah pemberitaan. Jika aspek pemberitaan itu dijadikan sanda-ran kepada penutupan dan penolakan khalayak terhadap akhbar, maka yang dipersalahkan ialah kewartawanan.

Di sinilah letaknya peranan ahli akademik menjelaskan kepada khalayak akan maksud kewartawanan yang terbahagi kepada dua sub bidang utama iaitu yang melibatkan amalan dan keduanya dari sudut keilmuannya yang merentasi pelbagai isu dan kajian.

Sudah tiba masanya bagi sarjana tempatan mengungguli perbahasan dan menolak pemikiran Barat yang selama ini mendominasi bidang ini. Lima dekad adalah tempoh cukup matang untuk sarjana tempatan mengemudi pengajian kewartawanan dan komunikasi negara tanpa perlu terus terikat dengan acuan Barat atau lebih tepat lagi tinggalkan sahaja Eurocentrisme!

* Mohd Amirul Akhbar ialah mantan Pengarah Institut Pengajian Kewartawanan, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM serta Timbalan Presiden Persatuan Pengajar Kewartawanan Malaysia