Buku teks Sejarah Tingkatan Empat patuhi proses penerbitan: KPM

DSKP KSSM Sejarah Tingkatan Empat telah diteliti, disemak dan diperakui sah oleh Panel Pakar Rujuk Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah KPM.
DSKP KSSM Sejarah Tingkatan Empat telah diteliti, disemak dan diperakui sah oleh Panel Pakar Rujuk Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah KPM.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan bahawa buku teks Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) Sejarah Tingkatan Empat telah mematuhi semua proses penerbitan bagi menjamin kualiti buku teks, termasuk ketepatan fakta.

KPM dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, penerbitan buku teks KSSM Sejarah Tingkatan Empat adalah berdasarkan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) KSSM Sejarah Tingkatan Empat serta mengikut prosedur operasi standard Penerbitan Buku Teks KPM yang dikemas kini pada 2018.

Menurutnya, pada 24 April 2018, DSKP KSSM Sejarah Tingkatan Empat telah diteliti, disemak dan diperakui sah oleh Panel Pakar Rujuk Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah KPM.

"Mereka adalah pakar sejarah seramai tujuh orang daripada pelbagai pengkhususan dan kaum.

"Kandungan DSKP KSSM Sejarah Tingkatan Empat adalah berpandukan Laporan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah Sekolah Menengah KPM (20112012)," katanya.

Sebelum ini tular di media sosial berkaitan buku teks KSSM Sejarah Tingkatan Empat yang didakwa faktanya telah diselewengkan.

KPM menjelaskan, pemilihan penulis buku teks pula adalah berdasarkan Tatacara Penerbitan Pakej Buku Teks Dewan Bahasa dan Pustaka dan mengikut kriteria khusus iaitu mempunyai latar belakang pendidikan sejarah serta berpengalaman menulis buku teks Sejarah.

Menurutnya, proses penerbitan buku teks KSSM Sejarah Tingkatan Empat telah melalui proses kawalan mutu yang ketat.

Artikel Berkaitan:

"Ia merangkumi pemetaan kandungan, penulisan manuskrip, penyediaan dan penyemakan pruf muka surat, naskhah sedia kamera, pemerakuan naskhah sedia kamera, naskhah contoh, apresiasi kulit buku teks dan kelulusan naskhah contoh bagi menyediakan naskhah edar.

"Proses ini melibatkan Panel Pakar Rujuk Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah KPM, Jawatankuasa Peningkatan Mutu Buku Teks, Jawatankuasa Pembaca Luar dan Jawatankuasa Penilaian Teknikal 4 KPM.

"Bagi mewasitkan fakta tertentu, KPM mendapatkan pengesahan fakta sejarah dan kandungan daripada agensi kerajaan yang terlibat seperti Arkib Negara, Muzium Negara, Persatuan Sejarah Malaysia, Suruhanjaya Pilihan Raya dan Setiausaha Kerajaan Negeri," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: KPM digesa haramkan buku teks Sejarah Tingkatan Empat