X

Kindly register in order to view this article
!

Tular lambakan bungkusan kurier berhampiran kubur

Lambakan bungkusan barang sebuah syarikat kurier yang ditemui di tempat pembuangan sampah berhampiran Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Kuching Tengah.
A
A

KUALA SELANGOR - Tular dua rakaman video memaparkan lambakan bungkusan barang sebuah syarikat kurier ditemui di tempat pembuangan sampah berhampiran Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Kuching Tengah di sini sejak Selasa.

Dua video berdurasi 0.16 saat dan 0.26 saat itu menunjukkan lambakan bungkusan barang itu yang sebahagiannya masih berbungkus dan berada di dalam guni tertera nama sebuah syarikat kurier.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Tengah, Saharudin Zam Zam berkata, kejadian pembuangan bungkusan itu mula dikesan di kampung itu pada Isnin lalu.

"Saya mengesahkan kejadian ini selepas melihat sendiri lambakan bungkusan yang saya anggarkan 80 peratus tertera logo sebuah syarikat kurier," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.

Saharudin berkata, beliau mengetahui terdapat longgokan di tempat pembuangan sampah selepas seorang rakannya memuat naik status di Facebook kira-kira jam 5.30 petang.

"Saya sendiri terus ke tempat pembuangan terbabit dan melihat longgokan guni serta bungkusan terbabit.

"Bagaimanapun, lambakan bungkusan terbabit kemudiannya dibakar pihak tidak bertanggungjawab pada pagi Selasa," katanya.

Menurutnya, beliau tidak mengetahui sama ada bungkusan terbabit mengandungi barangan pelanggan atau bungkusan kosong yang sengaja dibuang.

"Semuanya dalam keadaan berbungkus dan saya tidak tahu motif pihak terbabit sama ada bungkusan yang dibuang itu ada unsur sabotaj atau khianat pihak lain," katanya.

Katanya, beliau kemudian menghubungi syarikat kurier dan bertemu sendiri dengan kakitangan syarikat kurier di pejabat cawangan berhampiran.

"Mereka (kakitangan) memaklumkan bungkusan dan guni yang ditemui itu bukan milik mereka.

"Saya juga tidak membuat laporan polis kerana tidak mahu menuduh mana-mana pihak yang melakukan perbuatan tersebut," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!