'Pelanggan' larikan kereta pandu uji

Kereta pandu uji jenis Perodua Axia yang dilarikan suspek.
Kereta pandu uji jenis Perodua Axia yang dilarikan suspek.
A
A
A

IPOH - Sebuah kereta pandu uji jenis Perodua Axia dilarikan seorang lelaki dalam satu kejadian di persimpangan Jalan Kampar ke Jalan Sultan Nazrin Shah di sini pada Isnin.

Kejadian sekitar jam 4 petang itu berlaku selepas suspek berpura-pura sebagai pelanggan di sebuah pusat jualan kereta terpakai di Jalan Kampar dan mahu memandu uji sebuah kereta di situ.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, suspek telah memandu uji kereta berkenaan ditemani seorang pembantu jualan wanita yang duduk di kerusi penumpang bahagian belakang.

Menurutnya, semasa memandu, kenderaan itu telah berhenti untuk mengisi minyak di sebuah stesen dekat Jalan Sultan Iskandar.

"Semasa melalui persimpangan Jalan Kampar ke Jalan Sultan Nazrin Shah, lelaki itu telah memberhentikan kereta dan meminta pekerja wanita itu pula memandu.

"Namun semasa pembantu jualan mahu turun dari kereta, lelaki terbabit bertindak memecut laju melarikan kenderaan berkenaan dan meninggalkan wanita itu di tepi jalan," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan rakaman percakapan wanita itu, suspek datang ke premis berkenaan dan memberitahu mahu membeli kereta Perodua Myvi.

Katanya, bagaimanapun kereta model itu tiada dan suspek kemudiannya ditunjukkan pula kereta Perodua Axia keluaran 2016 berwarna biru.

Artikel Berkaitan:

"Wanita itu yang tidak mencatatkan sebarang butiran suspek telah bersetuju untuk membuat pandu uji kenderaan berkenaan.

"Pengecaman wajah suspek tidak dapat dibuat kerana memakai pelitup muka, siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 379A Kanun keseksaan," katanya.