Jambatan Pulau Pinang masih selamat

PLUS mengesahkan Jambatan Pulau Pinang masih selamat digunakan.
PLUS mengesahkan Jambatan Pulau Pinang masih selamat digunakan.
A
A
A

GEORGETOWN - Jambatan Pulau Pinang disahkan masih selamat digunakan oleh pengguna jalan raya susulan insiden kebakaran pada kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kilometer 3.2 di jambatan itu pada Isnin.

Pengendali Jambatan Pulau Pinang, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memberi jaminan itu bahawa keseluruhan struktur jambatan tersebut masih kukuh untuk digunakan selepas kejadian tersebut.

"Lorong kanan di kedua-dua arah di lokasi kebakaran kini ditutup selama beberapa hari untuk membolehkan siasatan lanjut dijalankan oleh pihak TNB, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta polis.

"Sepanjang tempoh ini, PLUS menggalakkan orang ramai supaya menggunakan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah untuk mengelakkan kesesakan disebabkan oleh penutupan lorong tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut kenyataan itu, PLUS akan terus menyalurkan maklumat trafik terkini menerusi paparan papan tanda elektronik di lokasi strategik di lebuhraya termasuklah menerusi Twitter PLUSTrafik dan saluran media sosial dari semasa ke semasa.

Orang ramai turut digalakkan untuk memuat turun Aplikasi PLUS secara percuma dan berinteraksi dengan Chatbot pertama lebuh raya iaitu PUTRI untuk mendapatkan maklumat trafik di Jambatan Pulau Pinang.

Sementara itu, kerosakan kabel di Jambatan Pulau Pinang dijangka mengambil masa sehingga tiga bulan untuk dibaiki semula, namun ia bergantung kepada tahap kerosakan serta rundingan bersama PLUS.

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata, menurut penerangan dari TNB, kebakaran tersebut telah menjejaskan ketiga-tiga litar di bawah jambatan yang mengakibatkan gangguan bekalan elektrik selama 35 saat di beberapa kawasan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, bagaimanapun bekalan elektrik pulih dan stabil kembali berikutan masih ada punca bekalan lain.

"Kejadian berlaku di bawah Kilometer 3.2 Jambatan Pulau Pinang, kira-kira jam 4.23 petang semalam (Isnin). Punca kebakaran masih dalam siasatan oleh TNB dan tempoh pembaikan hanya akan diketahui secara muktamad selepas penilaian dibuat secara terperinci hari ini (Selasa).

"Bagaimanapun, tempoh pembaikan bergantung kepada tahap kerosakan serta rundingan bersama PLUS berkenaan keperluan penutupan jalan bagi membenarkan kerja pembaikan. TNB yakin ia tidak akan melebihi tiga bulan," katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Secara umumnya, permintaan bekalan elektrik di bahagian pulau berjumlah maksimum 700MW yang mana, ketika ini terdapat empat litar lain melalui kabel submarin dengan kapasiti bekalan 1,180MW.

Bagi Stesen Janakuasa Gelugor pula, ia mampu membekalkan kapasiti 310MW, bermakna masih terdapat kapasiti bekalan kira-kira 1,490MW di bahagian pulau iaitu jauh mencukupi untuk memenuhi permintaan.

Dalam kejadian pada petang Isnin, api berjaya dipadamkan kira-kira jam 7:30 malam dan tiada kecederaan melibatkan pengguna jambatan dilaporkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kabel elektrik Jambatan Pulau Pinang terbakar

Kabel elektrik Jambatan Pulau Pinang terbakar semula