Kabel elektrik Jambatan Pulau Pinang terbakar semula

Anggota bomba terpaksa menggunakan bot untuk memadamkan api di bawah Jambatan Pulau Pinang.
Anggota bomba terpaksa menggunakan bot untuk memadamkan api di bawah Jambatan Pulau Pinang.
A
A
A

GEORGETOWN - Pihak bomba menjalankan semula operasi pemadaman di Kilometer 3.2 Jambatan Pulau Pinang selepas mendapati kebakaran masih berlaku di lokasi tersebut.

Pegawai operasi, Azrul Khairi Abu Bakar berkata, kerja pemadaman telah ditamatkan kira-kira jam 9.49 malam Isnin, namun pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.17 pagi Selasa.

"Semalam (Isnin) api telah dipadamkan, namun hari ini (Selasa), ia terbakar semula menyebabkan kita perlu ke lokasi untuk kerja pemadaman.

"Hari ini kerja pemadaman melibatkan tiga Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai, Bandar Perda dan Paya Terubong (bantuan). Operasi turut dibantu oleh Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA) dari BBP Bandar Perda dan Paya Terubong serta agensi-agensi lain," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Menurutnya, api berjaya dikawal dan operasi pemadaman serta pemantauan masih dijalankan.

Dalam kejadian pada petang Isnin, TNB mengesahkan kebakaran di Kilometer 3.2 Jambatan Pulau Pinang melibatkan kabel 132kV dari Pencawang Masuk Utama (PMU) Bukit Tengah ke Bayan Mutiara.

Kebakaran itu dikesan berlaku kira-kira jam 4 petang dan punca sebenar masih lagi dalam siasatan.

Bomba bersama Pasukan Tindakan Kecemasan Jambatan Pulau Pinang terpaksa menggunakan bot ke lokasi kebakaran untuk memadam api dari bawah berikutan ia melibatkan kabel elektrik di bawah jambatan terbabit.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Kabel elektrik Jambatan Pulau Pinang terbakar