Dua majikan didenda RM90,000 gajikan 3 imigran haram

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

TAWAU - Dua majikan pada Isnin masing-masing didenda RM45,000 di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan bersama mengupah tiga imigran haram di premis perniagaan mereka.

Chin Kwang Vui, 49, dan Goh You Chai, 61, mengaku bersalah atas pertuduhan menggaji dua wanita warga Indonesia serta lelaki warga Filipina di sebuah restoran pada Ogos 2019.

Kedua-dua tertuduh membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

You Chai dan Kwang Vui didakwa bersama-sama membenarkan Jessica Samuel, 21, dan Margareta Sanoa, 36, serta Felixander Subida, 30, untuk masuk dan tinggal di Weijiabao Noodle House, Kubota Sentral, Jalan Kubota di sini pada 11.40 pagi, 17 Ogos 2019.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 55 E (1) Akta Imigresen 1959/1963 yang membawa hukuman denda maksimum RM30,000 atau penjara maksimum 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap imigran haram ditemui di premis, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Imigresen Tawau, Pilin Kenry memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal demi kepentingan awam.

Hakim memerintahkan Kwang Vui dan You Chai masing-masing membayar denda RM15,000 dan jika gagal, penjara tiga bulan bagi setiap imigran.

Bernama difahamkan kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam, membayar denda berkenaan selain kesemua imigran itu sudah diusir ke negara asal. - Bernama

Artikel Berkaitan: