X

Kindly register in order to view this article
!

Maritim rampas 34 bubu naga di Yan

Bubu naga yang dirampas dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk disiasat mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985. - FOTO: MARITIM MALAYSIA
A
A

ALOR SETAR - Sebanyak 34 set bubu kambang atau lebih dikenali sebagai bubu naga (China Prawn Net Trap) dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Zon Maritim Kuala Kedah di kawasan perairan Tanjung Jaga, Yan pada petang Ahad.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, rampasan tersebut berjaya dilakukan hasil aduan awam berkaitan isu lambakan bubu naga di kawasan perairan terbabit.

Menurutnya, semasa rondaan dilakukan, pihaknya mengesan dan merampas sejumlah bubu naga yang masing-masing berukuran lebih kurang 10 meter panjang yang dipasang di beberapa lokasi berbeza sepanjang perairan tersebut sekitar jam 5 petang.

"Penggunaan bubu naga diharamkan kerana sifatnya yang tidak selektif dan boleh merosakkan ekosistem perairan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan lain.

"Kesemua bubu tersebut yang dianggarkan bernilai RM4,080 kemudiannya dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk disiasat mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Noor Azreyanti berkata, sepanjang tahun 2020 hingga Ahad, Zon Maritim Kuala Kedah telah merampas 1,088 unit peralatan bubu naga dengan nilai rampasan dianggarkan lebih kurang RM111,940.

“Nelayan diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukan.

"Pihak Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang di perairan negara,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!