288 sekolah disanitasi untuk peperiksaan SPM

Pihak bomba melakukan Operasi Sanitasi Awam Bersepadu di SMK Majidee 2 di sini pada Ahad, sebagai persediaan menduduki peperiksaan SPM.
Pihak bomba melakukan Operasi Sanitasi Awam Bersepadu di SMK Majidee 2 di sini pada Ahad, sebagai persediaan menduduki peperiksaan SPM.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebanyak 288 buah sekolah menengah di Johor yang terlibat dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula Isnin menjalani proses sanitasi dan disinfeksi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Datuk Yahaya Madis berkata, proses sanitasi dan disinfeksi melibatkan dewan sekolah dan bilik darjah yang akan digunakan untuk peperiksaan berkenaan.

Menurutnya, proses itu sudah dimulakan pada Jumaat dan sekiranya berlaku kes positif Covid-19 semasa peperiksaan SPM, sanitasi dan disinfeksi akan dilakukan sekali lagi di sekolah tersebut.

"Selain itu, permohonan sanitasi awam di sekolah yang kita diterima turut melibatkan sekolah yang tidak menduduki peperiksaan SPM," katanya kepada pemberita selepas Operasi Sanitasi Awam Bersepadu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Majidee 2 di sini pada Ahad.

Seramai 25 anggota dari Balai Bomba dari Penyelamat (BBP) Tebrau terlibat dalam kerja-kerja sanitasi dan infeksi dengan mengambil masa satu jam yang mendapat kerjasama penuh Jabatan Pendidikan Negeri.

Yahaya berkata, selain pihak bomba, proses sanitasi dan disinfeksi turut dilakukan oleh pihak pengurusan sekolah sendiri selain Jabatan Kesihatan negeri selain pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Beliau memberitahu, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu, bomba telah melaksanakan kerja-kerja sanitasi dan disinfeksi di 210 buah sekolah di seluruh negeri.

Secara keseluruhan sehingga Sabtu katanya, Pusat Gerakan Operasi JBPM Johor membuat kerja-kerja sanitasi melibatkan 2,693 lokasi di 10 daerah selama 328 hari bermula 27 Mac 2020 sehingga 20 Februari 2021.

Artikel Berkaitan:

Menurut Yahaya lagi, ini melibatkan 1,124 bangunan kerajaan, 216 rumah ibadat, 550 tempat awam dan 803 lain-lain.