Tindakan lantik TPM hanya untuk selamatkan Muhyiddin

Isham Jalil
Isham Jalil
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu melantik pemimpin UMNO sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) hanyalah untuk menyelamatkan kedudukannya yang kini umpama telur di hujung tanduk.

Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil mendakwa Muhyiddin sedang terdesak malah mahu lakukan apa sahaja demi kepentingan beliau dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Tambah beliau, tindakan itu juga dilihat sudahpun terlambat dan tidak berguna lagi.

“Buat apa terima jawatan TPM untuk dua tiga bulan waima setahun di mana tidak banyak perubahan yang boleh dibuat hanya untuk menyelamatkan Muhyiddin dan Bersatu yang sedang tenggelam serta hampir karam,” katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya pada Jumaat.

Mengulas lanjut beliau berkata, tawaran berkenaan hanyalah untuk jangkamasa yang pendek dan pastinya Bersatu akan menuntut UMNO mengorbankan banyak perkara untuk jawatan berkenaan.

Menurutnya, ia tidak menguntungkan malah merugikan UMNO dan akar umbi serta orang-orang Melayu dalam jangka masa sederhana, panjang ataupun selama-lamanya.

“Saya tidak rasa pemimpin-pemimpin UMNO begitu ‘naive’ dan mentah untuk galak serta teruja dengan tawaran terdesak dan terlambat Muhyiddin dan Bersatu ini.

“Malah sebelum ini juga saya telah kata, jika UMNO terima jawatan TPM ini, ia besar berkemungkinan akan memecahbelahkan parti,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, majoriti akar umbi UMNO telahpun membuat keputusan menolak Bersatu dalam mesyuarat-mesyuarat perwakilan baru-baru ini.

Katanya, sesiapa yang menerima jawatan TPM itu akan dilihat oleh akar umbi sebagai menggadaikan UMNO untuk kepentingan diri sendiri.

“Jawatan TPM tidak mempunyai banyak kuasa untuk membuat dasar dan perubahan untuk rakyat, malah setahun kebelakangan ini jawatan itu tidak diisi yang menunjukkan ia bukanlah kritikal.

“Oleh itu tidak masuk akal untuk UMNO terima jawatan ini sekarang,” katanya.