PH ditolak jika abai manifesto

No Image Caption
A
A
A

TIMBALAN Presiden Amanah, Datuk Salahuddin Ayub mengakui beliau amat bimbang kerajaan PH akan ditolak pengundi sekiranya segala janji dalam manifesto PRU14 tidak dapat ditunaikan.

“Daripada PH menjadi kerajaan sehingga hari ini, semua menteri Kabinet dan wakil rakyat perlu bekerja keras. PH sudah berazam mahu membina sebuah kerajaan yang bersih. Itulah bezanya antara kerajaan hari ini dengan kerajaan lama,” kata Salahuddin seperti dilaporkan dalam Oriental Daily.

Beliau berkata, sekiranya ada mana-mana pegawai dan wakil rakyat dalam kawasannya melakukan kesalahan, diharapkan ada orang melaporkan kepadanya supaya tindakan dapat diambil.

Beliau menegaskan, beliau adalah menteri dan bersedia menjaga kepentingan semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.

Menyentuh mengenai kementerian yang dipegangnya iaitu Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, kata Salahuddin, kementeriannya kini memerlukan masa untuk mewujudkan satu sistem pengedaran produk pertanian dalam usaha mengurangkan penglibatan orang tengah.

“Sistem baharu ini termasuklah menggunakan internet sebagai salah satu cara penjualan. Dengan adanya sistem baharu ini, ia akan mampu menjaga kepentingan semua golongan termasuk petani, pengedar dan peruncit.

"Mereka semua ini akan menikmati faedah bersama, bagaimanapun ia perlu masa untuk melaksanakannya,” kata beliau lagi.

Kerajaan perlu bantu

Artikel Berkaitan:

lima juta pekerja mahir

Dalam usaha menyahut cabaran Revolusi Industri 4.0, Kementerian Sumber Manusia diminta memberikan bantuan secukupnya kepada lima juta pekerja mahir tempatan sebagai langkah meningkatkan skil dan keyakinan kepada mereka.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, kira-kira lima juta pekerja mahir tempatan yang berpengalaman sehingga hari ini masih belum memperoleh sijil kemahiran mereka.

“Kini sudah tibanya kerajaan menggubal satu akta baharu bagi memastikan jumlah gaji dan produktiviti seseorang pekerja mestilah mempunyai kaitan rapat antara satu dengan lain,” kata Shamsuddin ketika ditemu bual oleh Nanyang Siang Pau.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan kerajaan untuk membentangkan Pindaan Akta Kerja 1955 di Dewan Rakyat pada Mac depan.

Menurut Shamsuddin, kerajaan perlu menyediakan infrastruktur dalam Revolusi Industri 4.0 untuk pelbagai sektor seperti pembuatan, perkhidmatan, perladangan dan pembinaan supaya ia mampu bertahan serta menunjukkan daya saing yang mantap.

“Sekiranya pengusaha tidak bijak menggunakan teknik-teknik baharu seperti internet, kepintaran buatan (AI) dan Big Data, kos pengeluaran bagi produknya pasti akan lebih berbanding dengan orang lain, dan akhirnya mereka akan kehilangan pelanggan,” jelasnya.

Beliau berpendapat, sama ada kerajaan, syarikat korporat, majikan ataupun golongan pekerja, semuanya masih belum bersedia untuk menghadapi Revolusi Industri 4.0.

“Pihak kami sebelum ini telah memberikan beberapa cadangan kepada kerajaan lama dan pihak Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) juga pernah berjanji untuk menggubal dasar tersebut, bagaimanapun sehingga hari ini tiada sebarang tindakan lanjut dilakukan,” katanya.

Ijazah ADUN Tronoh tiada unsur pemalsuan

Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Akamai, Amerika Syarikat yang dimiliki ADUN Tronoh, Paul Yong Choo Kiong tidak mengandungi sebarang unsur pemalsuan, cuma ketika itu masih belum diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Demikian ditegaskan oleh Timbalan Setiausaha Agung DAP, Nga Kor Ming seperti dilaporkan dalam China Press.

Beliau berkata demikian, mengulas dakwaan dilemparkan oleh Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong yang mempertikaikan kesahihan ijazah milik ADUN DAP berkenaan.

“Dakwaan Ka Siong ini membuktikan beliau telah kehilangan modal politik. Beliau hanya mengeluarkan dakwaan yang tidak benar sahaja dan patut memohon maaf secara terbuka,” kata Kor Ming yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Menurutnya, Yong Choo telah memberikan taklimat kepada kepimpinan DAP mengenai isunya yang didakwa memiliki ijazah palsu yang sedang hangat diperkatakan dalam sosial media.

“Yong Choo sebelum ini adalah seorang usahawan. Demi menambahkan ilmu pengetahuannya, beliau kemudian mendaftarkan diri untuk melanjutkan pendidikan di Universiti Akamai, Amerika Syarikat sehingga berjaya memperolehi ijazah sarjana.

“Beliau ingin mempertingkatkan kebolehannya sendiri dan bukan untuk tujuan politik. Ketika beliau memperolehi ijazah sarjananya itu, universiti tersebut masih belum diberi pengiktirafan oleh MQA.

“Sebenarnya banyak universiti yang terkenal di seluruh negara, termasuk universiti-universiti dari China dan Taiwan tidak diiktiraf oleh MQA sehingga hari ini,” katanya.

Kata Kor Ming lagi, sekiranya mana-mana pemimpin DAP yang memiliki ijazah palsu, partinya akan mengambil tindakan sewajarnya.