Isteri terlantar selepas langgar babi

Nizam menjaga isterinya yang terlantar selepas terbabit dalam kemalangan melanggar seekor babi melintas semasa menunggang motosikal di Jalan Pinang di sini pada 25 September tahun lalu.
Nizam menjaga isterinya yang terlantar selepas terbabit dalam kemalangan melanggar seekor babi melintas semasa menunggang motosikal di Jalan Pinang di sini pada 25 September tahun lalu.
A
A
A

TANJONG KARANG - Seorang wanita kini terlantar selepas terbabit dalam kemalangan melanggar seekor babi ketika menunggang motosikal di Jalan Pinang di sini, tahun lalu.

Suaminya, Nizam Aradin, 45, berkata, akibat kemalangan jam 8 pagi pada 25 September tahun lalu itu, Nur Jannah Mohamad Dimyati, 30, mengalami pendarahan di kepala dan cedera pada dada.

"Isteri dibenarkan pulang dari hospital pada pertengahan Oktober tahun lalu namun tidak boleh berkomunikasi dan dia hilang daya ingatan. Sejak itu, Nur Jannah diuruskan seperti bayi dan bergantung sepenuhnya dengan susu khas yang perlu diberi setiap empat jam sekali melalui saluran tiub yang dipasang pada hidungnya," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Menurut lelaki itu, keadaan Nur Jannah menyebabkan dia tidak boleh bekerja sebagai penjaja ayam goreng selain sukar menumpukan sepenuhnya terhadap perniagaan membuat jeriji.

"Sebelum ini saya ada mengambil tempahan membuat jeriji rumah, tapi tidak dapat meneruskan kerja-kerja membuat jeriji kerana isteri tidak boleh mendengar bunyi bising akibat kesan kecederaan kepala dialaminya," katanya lagi.

Mengimbas semula kejadian itu Nizam berkata, Nur Jannah menunggang motosikal bersama anak lelakinya berusia sembilan tahun sedang dalam perjalanan ke Pekan Tanjong Karang sebelum kemalangan itu berlaku.

Menurutnya, akibat kejadian tersebut, isterinya mendapat kecederaan hingga menyebabkan dia terlantar dan anaknya cuma mengalami luka kecil.

Tambah bapa kepada tiga anak itu, ketika ini dia bergantung sepenuhnya dengan bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang kesemuanya berjumlah RM1,000 sebulan.

Artikel Berkaitan:

"Hasil bantuan ini saya gunakan untuk membeli keperluan dan perbelanjaan kami sekeluarga," katanya.

Mereka sekeluarga menetap di Blok A Sawah Sempadan.

Menurut Nizam, doktor yang merawat isterinya memaklumkan Nur Jannah berkemungkinan sembuh dalam tempoh enam bulan.

"Saya dan adik beradik isteri bergilir-gilir menjaganya dan kami berharap dia kembali sembuh seperti sedia kala.

"Alhamdulillah, sejak sebulan lalu isteri sudah menunjukkan perubahan positif dan sudah mula boleh bercakap selain ingatannya beransur pulih," katanya.

Kepada orang ramai ingin membantu boleh menghubungi talian 017-3271772 untuk maklumat lanjut.