KPT jamin tiada isu pelajar universiti diarah pulang 1 Mac ini

Noraini bercakap kepada pemberita selepas mengadakan sesi lawatan kerja di Universiti Kebangsaan Malaysia semalam. - Foto Bernama
Noraini bercakap kepada pemberita selepas mengadakan sesi lawatan kerja di Universiti Kebangsaan Malaysia semalam. - Foto Bernama
A
A
A

BANGI - Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memberi jaminan tiada pelajar daripada enam kategori yang dibenarkan kembali ke kampus pada 1 Mac ini akan diarah pulang ke rumah sebaik tiba di universiti masing-masing.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, proses pendaftaran masuk semula pelajar ke kampus adalah mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Insyallah pihak universiti dan KPT akan memastikan pelajar yang datang ke kampus dan hendak masuk ke kampus akan diterima.

"Kita akan pastikan tidak timbul lagi isu pelajar diarah pulang (sebaik tiba di kampus) dan kita harapkan proses kemasukan pelajar pada kali ini berjalan lancar serta lebih teratur," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Universti Kebangsaan Malaysia (UKM), pada Rabu.

Oktober lepas, timbul isu penuntut universiti terpaksa pulang ke rumah sebaik tiba ke kampus mereka, selepas KPT menangguhkan pendaftaran secara bersemuka bagi kemasukan pelajar sesi akademik 2020/2021, berikutan peningkatan kes Covid-19 ketika itu.

Noraini berkata, mana-mana pelajar daripada enam kategori itu yang tidak berhasrat untuk kembali ke kampus dan mahu meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) di rumah turut dibenarkan memandangkan PdP masih dilaksanakan secara hibrid.

Ditanya sama ada pelajar tidak akan dibenarkan keluar dari kawasan kampus selepas masuk ke kampus, menteri itu berkata ia bergantung kepada pihak universiti, namun arahan KPT adalah pelajar bebas untuk melakukan aktiviti yang dibenarkan MKN dalam kawasan universiti.

Mengulas mengenai lawatan kerja itu, Noraini berpuas hati dengan persedian pelaksanaan proses kemasukan kira-kira lebih 7,000 pelajar di UKM mulai Mac depan.

Artikel Berkaitan:

Ini termasuk penyediaan kaunter saringan suhu secara pandu lalu dan asrama isolasi bagi menempatkan pelajar dari kawasan zon merah sebelum dibenarkan mengikuti kelas kuliah masing-masing.

Mulai 1 Mac ini, hanya enam kategori pelajar berkeperluan dibenar kembali ke kampus bagi mengikuti sesi PdP secara hibrid iaitu secara fizikal dan pengajian dalam talian.

Kategori pertama adalah pelajar program pengajian peringkat Sijil, Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Pasca Siswazah yang memerlukan praktikal, makmal, klinikal, latih amal, studio, bengkel dan peralatan khas.

Kedua, pelajar yang tidak mempunyai akses dan persekitaran tidak kondusif bagi melaksanakan PdP dalam talian; ketiga, pelajar Asasi atau Setara dan Diploma yang sedia ada di kampus boleh meneruskan pembelajaran secara hibrid dan keempat, semua pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu kecuali dari United Kingdom.

Kelima, pelajar Berkeperluan Khas (OKU); dan keenam, pelajar yang menduduki peperiksaan Malaysia University English Test (MUET), antarabangsa dan badan profesional. - Bernama