Pendidikan mesti jadi zon bebas politik: Asyraf Wajdi

ASYRAF WAJDI
ASYRAF WAJDI
A
A
A

SHAH ALAM - Cadangan menubuhkan Majlis Tindakan Pendidikan Kebangsaan (MTPK) melibatkan parti politik hanya menambah kekalutan dan haru-biru dalam sistem pendidikan negara.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya juga berpendirian tidak perlu keterlibatan orang politik yang hanya akan mencetuskan polemik tidak berkesudahan.

Katanya, beliau setuju dengan pandangan Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) menolak cadangan yang dikemukakan bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik untuk menubuhkan MTPK.

“Apa yang lebih utama Kementerian Pendidikan memperkasakan Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan yang sedia ada dengan menampilkan tokoh-tokoh pendidikan, ahli akademik, bekas-bekas guru cemerlang yang boleh digemblengkan untuk memikir dan mengkaji pendekatan dan model terbaik untuk meningkatkan kecemerlangan serta mengangkat martabat pendidikan negara, terutamanya dalam era pandemik kini.

“Biarlah pendidikan menjadi zon bebas parti dan melangkaui ideologi politik demi masa depan pewaris negara akan datang,” katanya dalam satu hantaran di Facebook beliau pada Khamis.

Presiden PIBGN, Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan dalam satu kenyataan pada Rabu menolak cadangan tersebut berikutan khuatir penubuhan majlis tindakan itu nanti hanya akan menjadi medan untuk berpolitik.

Katanya, ketika ini kerajaan sudah menyediakan saluran untuk semua pihak mengemukakan pandangan mahupun komentar dalam usaha menambah baik sistem pendidikan negara.

Pada Isnin lalu, Maszlee mahu kerajaan menyegerakan penubuhan MTPK yang terdiri daripada ahli Parlimen kerajaan, pembangkang serta pakar yang terlibat dalam bidang pendidikan.

Artikel Berkaitan:

Maszlee berkata, ia merupakan antara 12 cadangan yang dikemukakan kepada kerajaan bagi menangani krisis pendidikan ketika pandemik Covid-19.

Tambahnya, pendidikan tanggungjawab bersama dan memerlukan usaha bersepadu, kolaboratif dan holistik daripada semua pihak.