Anak kambing kembar empat seperti anak sendiri

Sarihana(kanan) dan Mohd Azhar bersama anak kambing kembar empat mereka yang berusia sebulan.
Sarihana(kanan) dan Mohd Azhar bersama anak kambing kembar empat mereka yang berusia sebulan.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Kelahiran anak kambing kembar empat sebulan lalu, di sini, bukan sahaja menarik perhatian komuniti tetapi juga membuatkan rutin harian sepasang suami isteri pemilik ternakan itu turut berubah.

Seawal jam 7 pagi, Mohd Azhar Embong,55, dan Sarihana Abd Rahman,51, sudah mula melakukan persiapan membancuh susu sebagai makanan buat ‘si kembar’ peliharaan mereka.

Malah, ‘Ummi dan Abah’ ini akan berulang-alik sebanyak dua hingga tiga kali sehari daripada rumah di Kampung Tok Randok ke kandang bagi melihat serta memberi susu buat anak kambing kembar empat itu.

Berkongsi cerita, Sarihana berkata sejak kelahiran si kembar baka jamnapari itu, dia terpaksa memperlahankan aktiviti menjahit bagi memberi tumpuan kepada haiwan itu.

“Saya dan suami mula berikan anak-anak kambing ini susu sejak hari pertama kelahiran kerana ibunya begitu tidak bermaya.

Rutin pasangan suami isteri ini sekitar jam 8 pagi bermula dengan memberi susu kepada si kembar peliharaan mereka.
Rutin pasangan suami isteri ini sekitar jam 8 pagi bermula dengan memberi susu kepada si kembar peliharaan mereka.

“Ketika dua minggu beranak, kami terpaksa buat keputusan sembelih ibunya,” katanya.

Katanya, sejak sebulan lalu, rutin seharian mereka berubah kerana anak kambing kembar ini perlu dijaga seperti bayi.

Artikel Berkaitan:

“Sekitar jam 8 pagi, kami sudah berada di kandang berikan haiwan ini minum susu dan bermain-main.

“Susu dibancuh dicampur telur serta nasi yang dikisar dan sekali bancuh antara tiga hingga empat liter. Sampai ke kandang, ‘si kembar’ ini akan diberi minum susu diisi dalam botol. Seronok tengok berebut-rebut,” katanya.

Selepas minum susu, anak-anak kambing ini dibiarkan bermain terlebih dahulu sebelum dibawa masuk kembali ke dalam kandang.
Selepas minum susu, anak-anak kambing ini dibiarkan bermain terlebih dahulu sebelum dibawa masuk kembali ke dalam kandang.

Katanya, sekilogram susu berharga RM15 biasanya bertahan selama tiga hari.

“Usianya baru sebulan, tidak boleh makan makanan lain lagi kecuali susu,” katanya.

Pernah menangis fikirkan nasib anak kambing

Tambah ibu kepada tiga cahaya mata berusia antara 19 hingga 25 tahun ini, kehadiran ‘si kembar’ itu membuatkan dia seolah-olah rasa seperti mendapat anak kecil sekali gus menjadi terapi jiwa buatnya.

“Si kembar ini seekor jantan tiga betina, saya sekeluarga memanggilnya dengan nama boy dan kakak. Kasih sayang yang lahir dari hati juga membuatkan saya dan suami membahasakan diri kami ‘ummi dan abah’.

“Kami juga tidak sampai hati menjamah daging ibu si kembar ini setelah disembelih baru-baru,” ceritanya.

Dek kerana rasa kasih dan sayang, Mohd Azhar membahasakan dirinya sebagai Abah ketika bercakap dengan anak kambing kembar empat dipeliharanya.
Dek kerana rasa kasih dan sayang, Mohd Azhar membahasakan dirinya sebagai Abah ketika bercakap dengan anak kambing kembar empat dipeliharanya.

Sarihana berkata, pada malam hari itu, dia pernah menangis memikirkan nasib anak kambing ini yang kelaparan kerana tiada ibu.

“Bunyinya mengembek kelaparan seolah-olah jelas tergiang di telinga.

“Anak-anak kambing ini pula tidak hanya bunyi seperti biasa tetapi ada ketikanya kita akan dengar seperti berbunyi merintih memanggil mak.

“Hati saya benar-benar tersentuh selain sering risau keadaan anak-anak kambing ini apabila berada di rumah terutamanya pada malam hari.

“Saya fikir, lapar ke tidak serta tidur atau belum si kembar ini,” ujarnya.

'Ummi dan Abah' memanggil si kembar mereka masuk ke dalam kandang di Kampung Bukit Perah.
'Ummi dan Abah' memanggil si kembar mereka masuk ke dalam kandang di Kampung Bukit Perah.

Boy dan Kakak jadi tumpuan komuniti

Kata Sarihana lagi, ibu si kembar itu dibeli suaminya yang merupakan seorang usahawan ternakan kambing sekitar tahun 2017 lalu ketika berusia lima bulan dari seorang kenalan.

“Sekitar Mei tahun lepas, ibunya telahpun beranak anak kambing jantan kembar dua dan diberi nama Awang. Kelahiran pertama itu tidak begitu teruja kerana sudah biasa dengar kambing beranak keluar dua ekor.

“Tidak sangka sebulan lalu, bagi kelahiran kedua, keluar kembar empat pula. Terkejut, teruja semuanya ada ketika itu dan ada juga yang tidak percaya apabila dibagitahu kambing beranak keluar empat.

“Rata-rata mereka pernah dengar dua atau tiga ekor sahaja dan kerana ini jugalah, si kembar ini jadi perhatian komuniti untuk lihat sendiri sesuatu yang mungkin jarang ditemui ini.

Momen sebegini pastinya dirindui Sarihana apabila Boy dan Kakak membesar kelak.
Momen sebegini pastinya dirindui Sarihana apabila Boy dan Kakak membesar kelak.

“Ketika si ibu bunting dulu, saya perasan perut agak besar berbanding sebelum itu tetapi hanya ingatkan mungkin kembar dua sahaja tetapi apabila keluar, empat ekor terus. Saya anggap ini semua rezeki,” katanya.

Mengakui rutin seharian dilaluinya kini hanya bersifat sementara kerana anak-anak kambing itu akan membesar, Sarihana berkata tentunya dia akan merindui momen-momen dilalui bersama Boy dan Kakak.

Katanya, kehadiran si kembar empat itu membolehkan dia merasai senario ibu bapa dapat anak kembar yang di sebalik kepenatan ada kebahagian.