2,807 helai pakaian jenama tiruan dirampas

Pakaian tiruan yang dirampas oleh KPDNHEP Pulau Pinang dalam dua serbuan pada Selasa.
Pakaian tiruan yang dirampas oleh KPDNHEP Pulau Pinang dalam dua serbuan pada Selasa.
A
A
A

GEORGETOWN - Sebanyak 2,807 helai pakaian pelbagai jenama terkenal dipercayai tiruan bernilai RM14,780 dirampas oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang dalam dua serbuan pada Selasa.

Pengarahnya, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, serbuan dilakukan di Taman Dahlia, Butterworth dan Taman Tasek Mutiara, Simpang Ampat pada jam 2 petang selepas menerima aduan daripada syarikat jenama terkenal berkenaan.

"Pemeriksaan mendapati, kedua-dua premis perniagaan itu dijadikan stor menyimpan semua pakaian tiruan tersebut.

"Kita turut menahan dua lelaki berusia 34 dan 55 tahun bagi membantu siasatan. Pemeriksaan awal mendapati semua pakaian tiruan dan dijual lebih murah berbanding yang original," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Jelasnya, peniaga pakaian tersebut menjualnya di sekitar negeri ini selain menggunakan aplikasi dalam talian.

"Mereka mampu mengaut keuntungan puluhan ribu ringgit setiap bulan hanya menjual pakaian jenama tiruan ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah," katanya.

Mohd Ridzuan turut memberi amaran kepada individu atau syarikat supaya lebih bertanggungjawab terhadap harta intelek orang lain," katanya.

Artikel Berkaitan: