Basmi kemisikanan tumpuan ECERDC di Terengganu

Sehingga 8 Februari lalu, Terengganu telah berjaya menarik pelaburan swasta komited sebanyak RM2.2 bilion iaitu 56 peratus daripada sasaran pelaburan komited sebanyak RM3.9 bilion untuk 2021.
Sehingga 8 Februari lalu, Terengganu telah berjaya menarik pelaburan swasta komited sebanyak RM2.2 bilion iaitu 56 peratus daripada sasaran pelaburan komited sebanyak RM3.9 bilion untuk 2021.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) menggariskan tiga fokus utama untuk pemulihan ekonomi di Terengganu bagi membantu rakyat yang bergelut dengan pelbagai cabaran akibat pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat berkata, keutamaan diberi terhadap pembangunan modal insan, pertanian dan pelancongan untuk membasmi kemiskinan, seterusnya memulihkan semula sosioekonomi di Terengganu.

“Bagi pembangunan ekonomi jangka panjang di Terengganu, pembangunan modal insan yang merangkumi program latihan kemahiran dan program mencegah kemiskinan menerusi sokongan pendidikan untuk para pelajar akan menjadi fokus utama bagi memenuhi keperluan semasa rakyat.

“Pada masa sama, usaha pemulihan ekonomi wilayah ECER akan memberi tumpuan kepada perniagaan tani serta pengukuhan infrastruktur pelancongan di dalam negeri bagi memastikan kemampanan jangka panjang sebagai persediaan apabila pelancongan dibenarkan semula,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Bilangan isi rumah yang berada di bawah garis kemiskinan di Terengganu, dijangka meningkat daripada 11,280 kepada 38,859 berikutan semakan semula had Pendapatan Garisan Kemiskinan (PGK) negara daripada RM980 kepada RM2,502, yang dibuat pada 2020.

Oleh itu, Baidzawi berkata, ECERDC telah memperluaskan Program Peningkatan Graduan ECER (ETEP) di bawah Penjana-ECERDC yang menawarkan kursus-kursus teknikal bagi melengkapkan para peserta dengan kemahiran yang diperlukan oleh industri dan mendapatkan penempatan kerja.

Tambahnya, program 'Train & Place ECERDC' pula akan memberi manfaat kepada 1,600 pekerja mahir, dan memastikan penempatan kerja dalam masa sebulan selepas mereka menamatkan latihan manakala sehingga kini seramai 1,229 peserta telah menamatkan latihan, manakala 3,771 peserta lagi dijangka akan menamatkan latihan mereka Mei depan.

“ECERDC juga akan meneruskan misi pembangunan usahawan, menerusi program empower ECER. Seramai 1,359 usahawan baharu telah diwujudkan, malah peserta turut dibantu mendaftarkan perniagaan mereka.

Artikel Berkaitan:

“Satu program mentor yang melibatkan bimbingan, latihan sambil kerja dan lawatan industri turut dianjurkan. Menerusi program entrepreneur ECER, seramai 1,520 usahawan telah dibantu untuk mengembangkan perniagaan mereka. Ini termasuklah meningkatkan kualiti pengeluaran, pembungkusan, penjenamaan dan persijilan,” katanya.

Bagi sektor pertanian pula, Baidzawi berkata, ECERDC sedang mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk dibangunkan sebagai Lembah Tenusu Terengganu, bagi memenuhi keperluan susu negara berikutan kejayaan satu projek ECERDC sebelum ini iaitu Pusat Penyelidikan dan Inovasi Lembu Muadzam Shah (MSCRIC) di Rompin, Pahang.

“Usaha akan terus dilakukan untuk memastikan perladangan industri lembu daging, seperti pembiakan ‘lembu sado’ dan penternakan kambing tenusu serta perikanan ini berjaya dan memberi manfaat kepada peserta yang terlibat seperti mana projek Agropolitan Besut-Setiu (BSA) yang berjaya mengeluarkan 85 peserta daripada garis kemiskinan sebelum ini,” katanya.

Untuk sektor pelancongan yang telah terjejas teruk akibat COVID-19 pula katanya, ECERDC akan meneruskan projek infrastruktur strategik di Taman Negeri Setiu Wetlands dan membangunkan ‘Kuala Terengganu City Centre (KTCC) Promenade’ bagi melonjakkan nilai ekonomi kepada masyarakat setempat ‘Kuala Terengganu City Centre’.

“Antara projek lain yang sedang dilaksanakan adalah pembinaan empat tanjung buatan tambahan di Pantai Teluk Lipat, Dungun dan kerja menaik taraf sistem solar hibrid di Pulau Kapas.

“Pembinaan tanjung buatan bermula 30 Okt tahun lepas dan dijangka siap Ogos ini manakala menaik taraf sistem solar hibrid di Pulau Kapas telah bermula pada 15 Dis 2020 dan dijangka selesai akhir September depan,” katanya.

Sehingga 8 Februari lalu, Terengganu telah berjaya menarik pelaburan swasta komited sebanyak RM2.2 bilion iaitu 56 peratus daripada sasaran pelaburan komited sebanyak RM3.9 bilion untuk 2021.

Baidzawi berkata, pihaknya akan terus mempromosikan wilayah ECER sebagai destinasi pelaburan yang menarik bagi pelabur tempatan dan asing, menawarkan infrastruktur yang sedia untuk perniagaan, kesalinghubungan yang berkesan dan program pembangunan modal insan yang proaktif. - Bernama