Minta anak hantar laptop, kesihatan Abdul Hadi semakin baik

 Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang
A
A
A

SHAH ALAM - Keadaan kesihatan semasa Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang sedang menjalani rawatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur dilaporkan semakin baik.

Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar Pas Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi yang juga anak kepada Abdul Hadi turut memaklumkan bahawa bapanya itu memerlukan sebuah laptop untuk kegunaannya di IJN.

Perkara itu dinyatakan Muhammad Khalil melalui satu hantaran di laman Facebooknya pada Selasa.

“Ley (Khalil) kalu mari jangan lupa bawak laptop dan internet (broadband portable wifi ) ayah yer. Tak puas (bosan) sangat duduk kat wad nie, boleh ayah ikuti berita dan buat kerja.

"Itu perbualan saya dengan ayahanda Tuan Guru sebentar tadi dengan nada yang bersemangat," kata Muhammad Khalil yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok.

Dalam pada itu, Muhammad Khalil turut mengucapkan terima kasih di atas ucapan dan doa daripada semua pihak yang memahami keadaan semasa Presiden Pas yang memerlukan rehat secukupnya.

Pada Isnin malam, Abdul Hadi yang juga merupakan Ahli Parlimen Marang dimasukkan ke Jabatan Kecemasan, Hospital Putrajaya pada jam 7.50 malam akibat sesak nafas.

Dalam satu kenyataan kemudiannya memaklumkan bahawa keadaan Abdul Hadi stabil, namun jantungnya lemah berkemungkinan disebabkan beliau berada dalam keadaan yang penat.

Artikel Berkaitan:

Abdul Hadi kemudiannya dirujuk ke IJN untuk rawatan susulan dan membuat ujian calit.