KPDNHEP sedia pelan antirasuah peringkat kementerian

Saifuddin Nasution
Saifuddin Nasution
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang menyediakan pelan antirasuah peringkat organisasi yang selari dengan objektif negara bebas rasuah dan berintegriti seperti yang terkandung dalam Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kementeriannya memerlukan satu pelan antirasuah sendiri untuk dijadikan panduan dalam melaksanakan NACP agar bersesuaian dengan fungsi dan teras utama kementerian yang mempunyai hubungan atau tanggungjawab langsung dengan masyarakat.

Beliau berkata Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) diberi tanggungjawab sebagai pengerak utama memecah rantaian rasuah dengan dibantu oleh Bahagian Integriti KPDNHEP.

Beliau berkata selaras dengan objektif penubuhannya iaitu mewujudkan persaingan yang sihat dalam amalan perniagaan dan penyediaan perkhidmatan, MyCC adalah agensi yang penting dalam merealisasikan hasrat kementerian membanteras amalan rasuah serta membela kepentingan pengguna.

"Rasuah boleh berlaku dalam pelbagai situasi terutama hal yang melibatkan soal persaingan, satu perkara yang membawa kepada wujudnya amalan monopoli. Dalam hal ini, MyCC mempunyai fungsi yang sangat penting dalam menanganinya,” katanya pada sidang media selepas perhimpunan bulanan kementerian itu di sini hari ini.

Saifuddin berkata proses merangka pelan tersebut bermula sejurus Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan NACP pada 29 Jan lepas dan Ketua Setiausaha kementerian itu telah diarahkan untuk memastikan KPDNHEP menjadi kementerian pertama memiliki pelan sedemikian.

Beliau berkata pihaknya hanya akan menggunakan kepakaran dalaman bagi menyediakan pelan tersebut dengan panduan nasihat daripada Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah, Jabatan Perdana Menteri (GIACC), Institut Integriti Malaysia dan badan penguat kuasa berkaitan.

NACP menggariskan enam strategi untuk enam bidang keutamaan termasuk mempertingkatkan keberkesanan dan ketelusan dalam perolehan kerajaan; menginstitusikan kredibiliti agensi penguatkuasaan undang-undang; memperkukuh akauntabiliti dan integriti politik dan memupuk tadbir urus baik dalam entiti korporat.

Artikel Berkaitan:

Ia memberi tumpuan kepada enam bidang utama iaitu perolehan awam; penguatkuasaan undang-undang; tadbir urus politik; tadbir urus korporat; pentadbiran sektor awam dan perundangan dan kehakiman.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata beliau dan timbalannya Chong Chien Jen tidak akan mengeluarkan sebarang surat sokongan ke atas sebarang permohonan atau kepentingan mana-mana pihak.

"Komitmen ini mengikat kami sejak hari pertama melapor diri dan kami melaksanakannya dengan penuh sedar sehingga sekarang," katanya, sambil menambah langkah itu adalah antara langkah mencegah amalan rasuah dan menegakkan integriti kementerian. - Bernama