X

Kindly register in order to view this article
!

KHM umum MHL 2021 buka tirai 11 Mac

Anil Jeet Singh
A
A

KONFEDERASI Hoki Malaysia (KHM) pada Isnin memutuskan saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2021 akan berlangsung mulai 11 Mac hingga 3 April depan.

Keputusan itu dibuat Jawatankuasa Pertandingan KHM selepas mendapat kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM, Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh berkata, MHL 2021 akan berlangsung secara berpusat mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan MKN dan KBS selain mengambil kira setiap garis panduan diberikan untuk kejohanan dilangsungkan secara gelembung sukan.

“Setakat ini semua pasukan bersetuju dengan tarikh-tarikh berkenaan serta SOP. Kami berterima kasih kepada kerajaan kerana membenarkan liga ini diadakan.

“Pemain serta pegawai juga diwajibkan untuk melakukan ujian calitan Covid-19 (RT-PCR) tiga hari sebelum mendaftar masuk ke penempatan khas yang disediakan serta menghantar keputusan ujian berkenaan kepada KHM untuk kami pastikan semua yang terbabit bebas daripada Covid-19,” katanya pada sidang media pada Isnin.

Beliau turut mengesahkan KHM akan menanggung semua kos untuk gelembung tersebut termasuk penginapan, makanan dan pengangkutan ke Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil yang dianggar sekitar RM300,000.

Stadium Hoki Nasional kekal selaku venue kejohanan dengan saingan lelaki akan bermula pada 11 Mac, sementara kategori wanita pula akan memulakan saingan pada 15 Mac dengan acara final bagi kedua-dua kategori akan berjalan serentak pada 3 April.

MHL 2021 sebelum ini dijadualkan berlangsung dari 14 Januari hingga 20 Februari, namun ditangguhkan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 yang berkuat kuasa dari 14 Januari hingga 18 Februari bagi mengekang penularan Covid-19.

Pasukan lelaki yang mengesahkan penyertaan mereka ialah juara bertahan, Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Pasukan Hoki Terengganu (THT), Tenaga Nasional Berhad (TNB), TNB Thunderbolts, Maybank, Universiti Teknologi Mara, Nurinsafi Hockey Team dan Sabah.

Liga wanita pula disertai PKS UniTen, PDRM The Blue Warriors, Mutiara Impian, Sabah, Young Tigress dan UniKL Ladies.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!