Empat kenderaan dilarikan dari pusat pameran

Suffian
Suffian
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pemilik premis pameran dan servis kereta di Kuala Nerus terpaksa menanggung kerugian hampir RM540,000 apabila empat kenderaan di dalam premis itu dilarikan selepas dipercayai dipecah masuk oleh sekumpulan penjenayah.

Kehilangan itu hanya disedari seorang pekerja kira-kira jam 7.30 pagi kelmarin (Sabtu) yang datang ke premis berkenaan sebelum mendapati pintu belakang pejabat itu dipecahkan selain keadaan pejabat yang berselerak.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Superintendan Suffian Santong berkata, pemeriksaan lanjut kemudian mendapati tiga buah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mitsubishi Outlander 2.0 hilang.

Beliau berkata, tiga daripada kenderaan itu sudah didaftarkan manakala sebuah lagi Mitsubishi Triton adalah kenderaan baharu.

"Hasil siasatan suspek dipercayai masuk ke dalam premis itu menggunakan sebuah kerusi untuk memanjat tong drum yang berada di belakang dinding premis bagi memecahkan plastik zink lut sinar.

"Sebaik masuk ke dalam premis itu, suspek turut mencabut plug kamera rakaman litar tertutup (CCTV) dan menyelongkar meja tempat penyimpanan kunci sebelum melarikan tiga kenderaan yang diletakkan di hadapan premis dan sebuah lagi di garaj.

"Kita percaya sekurang-kurangnya empat suspek terbabit dalam jenayah ini memandangkan semua kenderaan hilang pada masa sama," katanya ketika dihubungi.

Jelas Suffian, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah kedai.

Artikel Berkaitan: