X

Kindly register in order to view this article
!

Hishammuddin dijangka ke Brunei dan Arab Saudi

Hishammuddin
A
A

SHAH ALAM - Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dijangka membuat lawatan rasmi ke Arab Saudi dan Brunei pada tahun ini.

Menurut portal Berita Harian, Sultan Brunei telah bertitah agar Hishammuddin menghadapnya dan berkemungkinan beliau akan ke sana.

Hishammuddin berkata, negara ASEAN sentiasa menjadi keutamaan Malaysia ditambah dengan Brunei selaku pengerusi pada tahun ini.

“Menerusi pertemuan Perdana Menteri dengan Presiden Indonesia baru-baru ini, saya dan rakan sejawat, Retno Marsudi diarah mengadakan mesyuarat dengan Menteri-Menteri Luar ASEAN bagi membincangkan hala tuju Myanmar.

“Sama ada dibuat secara maya atau bersemuka, ia akan ditentukan Brunei selaku Pengerusi ASEAN 2021.

"Insya-ALLAH, ia akan dibincangkan semasa lawatan saya ke Brunei kelak,” katanya dalam wawancara bersama Berita Harian yang disiarkan pada Ahad.

Selain itu katanya, beliau juga mungkin akan ke Arab Saudi kerana telah menerima jemputan daripada menterinya.

Tambah Hishammuddin, tujuan pertemuan tersebut adalah untuk memulakan rundingan mengenai kouta haji dan umrah untuk Malaysia.

Ini kerana, katanya, sekiranya rundingan secara fizikal tidak diadakan, keputusan konkrit sukar dicapai.

“Sebab itu, Perdana Menteri mesti berjumpa secara bersemuka dengan keluarga diraja Arab Saudi untuk mencapai persefahaman lebih mendalam kerana keputusan kuota haji ini ialah prerogatif Penjaga Dua Masjid Suci.

“Amat penting untuk negara kita membuktikan kesungguhan mendapatkan kuota haji dan umrah daripada pihak yang bukan sahaja berkuasa membuat keputusan dalam hal ini, bahkan amat baik hati dan ikhlas mahu membantu negara kita,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!