X

Kindly register in order to view this article
!

Ebit Lew beri sumbangan Myvi kepada ibu tunggal

Ebit berada di dalam Myvi yang diberikan kepada Koh Kim Keok.
A
A

KOTA BHARU - Simpati dengan nasib yang menimpa seorang ibu tunggal di sini, penceramah dan pendakwah terkenal, Ebit Lew tampil menghulurkan sumbangan sebuah kereta Myvi bagi memudahkan pergerakan ibu tunggal terbabit.

Perkara itu dikongsikan Ebit melalui laman sosial Facebooknya dan mendapat sokongan daripada netizen yang memuji langkah yang diambil beliau.

Ibu tunggal itu yang berbangsa Cina itu, Koh Kim Keok dari daerah ini menerima sebuah kereta Myvi, peranti tablet serta sedikit wang saku untuk menampung perbelanjaannya, selain akan dibayarkan sewa rumah setiap bulan.

"Masa sampai tadi kakak ini menangis. Saya dapat maklumat yang keluarga ini susah dan sudah lama tiada makan besar dan tiada sambutan Tahun Baharu Cina. Walaupun 'chinese non muslim' tapi dia kenal saya.

"Katanya, dia selalu berdoa nak jumpa saya. Hari ini tiba-tiba ada depan mata. Selepas kematian suami, kakak ini besarkan anak yang ramai seorang diri dengan kerja kedai di kopi Cina.

"Masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), gaji sehari RM20, dulu RM30 dan sebulan dapatlah RM600. Ada anaknya yang peluk Islam tapi mereka hidup dengan penuh kasih sayang.

Ebit (tengah) menyampaikan sumbangan sebuah kereta, peranti tablet dan juga duit saku kepada keluarga Koh Kim Keok.
Ebit (tengah) menyampaikan sumbangan sebuah kereta, peranti tablet dan juga duit saku kepada keluarga Koh Kim Keok.

"Anak perempuan berhenti belajar kejururawatan kerana tiada duit untuk bayar yuran RM800. Sedih pula dengar. Mula kerja kedai makan bantu keluarga. Saya cadangkan dia untuk sambung belajar semula. Kami akan tanggung yuran dia jika belajar semula.

"Tiada kenderaan untuk hantar anak sekolah. Dulu ada kereta lama dah jual besi buruk. Saya terus ajak beli kereta. Terus dapat tadi. Kereta Myvi. Menangis kakak gembira sangat," katanya dalam entri tersebut.

Dalam masa sama, Ebit turut merakamkan ucapan terima kasih kepada beberapa pihak yang banyak membantu terutamanya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana memberikan sumbangan bulanan, pihak menteri, penghulu, ketua kampung dan tidak kurang juga badan bukan kerajaan (NGO) serta ketua kampung.

"Terima kasih media yang maklumkan pada saya. Terima kasih semua. Semoga menjadi asbab kebaikan. Happy Chinese New Year. Selamat makan besar semua," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!