Flat paling kotor

Begini keadaan koridor Flat Teluk Indah di Perai yang dipenuhi sampah sarap.
Begini keadaan koridor Flat Teluk Indah di Perai yang dipenuhi sampah sarap.
A
A
A

BUTTERWORTH - Pernah digelar sebagai flat paling kotor di Pulau Pinang sejak beberapa tahun lalu, namun ia langsung tidak memberi kesan kepada penduduk di Blok E2 Flat Teluk Indah, Perai dekat sini.

Manakan tidak, tinjauan yang dilakukan Sinar Harian baru-baru ini mendapati suasananya sama seperti tiga tahun lalu seolah-olah mereka selesa menjalani kehidupan dalam persekitaran yang kotor, busuk dan meloyakan.

Ratusan plastik sampah, sisa makanan, perabot dan barangan elektrik bertaburan di koridor sudah menjadi pemandangan biasa di flat itu.

Zaharah
Zaharah

Difahamkan masalah ini berlarutan sejak sekian lama disebabkan mentaliti segelintir penduduk yang tidak dapat diubah walaupun berbagai kempen kebersihan dan gotong royong dilakukan.

Seorang penduduk, Zaharah Najib, 61, yang tinggal di kawasan berkenaan sejak lapan tahun lalu mengakui sudah lali dengan keadaan menjengkelkan itu namun tidak dapat berbuat apa-apa kerana masalah sama tetap berulang.

Menurutnya, bunyi dentuman sampah yang dibuang dari tingkat atas akan mula kedengaran seawal jam 5 pagi dipercayai dilakukan dalam kalangan penduduk warga asing sebelum mereka keluar ke tempat kerja.

Artikel Berkaitan:

Zaharah menunjukkan keadaan koridor yang dipenuhi sampah.
Zaharah menunjukkan keadaan koridor yang dipenuhi sampah.

“Isu Flat Teluk Indah kotor bukan perkara baharu, sebagai penduduk memang saya malu bila kawasan perumahan kami dilabel bukan-bukan oleh orang ramai namun sehingga hari ini tiada siapa mampu selesaikannya.

“Apa yang berlaku disebabkan sikap pemalas dan tidak bertanggungjawab segelintir penduduk, akibatnya semua penghuni menerima kesan terutamanya mereka yang tinggal di aras bawah kerana terpaksa menghidu bau busuk,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Hamdan, 53, berkata, walaupun tong sampah besar disediakan di setiap aras, namun tabiat campak sampah terus ke bawah juga menjadi pilihan mereka yang tidak bertanggungjawab sehingga mengundang bahaya kepada penduduk lain.

Tidak mahu menuding kesalahan sepenuhnya kepada penduduk warga asing, Hamdan berkata penduduk tempatan di sini juga menggunakan jalan mudah membuang sisa buangan dari tingkap rumah mereka termasuk lampin bayi, lampin wanita dan sisa makanan.

“Cuba bayangkan nasib orang yang lalu lalang di bahagian bawah dihempap dengan plastik sampah yang berisi botol kaca, kulit durian dan najis.

“Benda ni dah selalu dibincangkan tapi tak ada juga penyelesaian malah bukan isu sampah sahaja yang menghantui kami tetapi isu keselamatan, lif rosak berbulan lamanya, kecurian motosikal dan banyak lagi menyebabkan flat ini digelar kawasan hitam,” katanya.

Lif rosak, longgokan sampah di merata-rata, bau busuk, kerusi terbang dan bangunan usang adalah antara masalah yang dideritai oleh jutaan penghuni flat di negara ini.

Lif yang sudah lama tidak berfungsi.
Lif yang sudah lama tidak berfungsi.

Penghuni flat menyalahkan jawatankuasa pengurusan dan pihak berkuasa tempatan (PBT), pihak berkenaan pula menuding jari kepada penduduk kerana bermentaliti kelas ketiga.

Siasatan wartawan Sinar Harian mendapati flat kotor, jijik dan usang perlu menjadi satu isu nasional kerana ia berlaku di flat di seluruh negara.

Kerajaan perlu bertindak segera untuk memulihkan imej flat atau Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang diibaratkan seperti setinggan kota.

Malah lebih penting, pelan menceriakan kembali flat dapat meningkatkan kualiti hidup penduduk flat-flat di Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN: Flat paling kotor

Kerajaan habiskan RM2 juta untuk Flat Teluk Indah

‘Saya ingat sampai mati’

‘Batu bata pun pernah dilempar ke bawah’